BERSATU meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan PAS yang menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti, namun menegaskan komitmen untuk terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN).
Kehendak PAS bukan BERSATU
Menerusi kenyataan daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hubungan yang terjalin antara BERSATU dan PAS sebelum ini dibina atas semangat perjuangan serta persefahaman yang baik demi agenda bersama.
“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan BERSATU adalah atas kehendak PAS.
“Sebagai parti pengasas PN, BERSATU akan terus kekal dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya,” katanya.
Menurut Muhyiddin, BERSATU akan terus memperkasa agenda prihatin rakyat yang diperjuangkan PN sejak gabungan itu ditubuhkan.
Fokus perkukuh PN
Dalam pada itu, beliau menyatakan parti itu akan terus mendukung aspirasi rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan yang mampu mewakili seluruh rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan dan ahli parti supaya terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan PN meskipun berdepan cabaran baharu.
“Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.
“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama kita.
“Insya-Allah, tentunya ada hikmah daripada apa yang berlaku. Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk, taufik dan hidayahNya,” kata bekas Pengerusi PN itu.

Semalam, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membuat ketetapan berhubung kedudukan hubungan kedua-dua parti.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa serta memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung prinsip penyatuan ummah.
Sumber: Facebook Muhyiddin Yassin




