PETALING JAYA: TEG Sport mengumumkan perubahan tarikh bagi aksi persahabatan antarabangsa yang dinanti-nantikan antara kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perlawanan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos 2026 kini diawalkan kepada 9 Ogos, manakala waktu sepak mula pada pukul 8 malam di Stadium Sultan Ibrahim kekal tidak berubah.
Menurut TEG Sport, keputusan untuk mempercepatkan tarikh perlawanan dibuat hasil persetujuan bersama kedua-dua kelab bagi memberi lebih masa kepada pasukan masing-masing membuat persiapan menghadapi musim baharu.
“Chelsea dan JDT menyambut baik perubahan jadual ini kerana ia membolehkan kedua-dua pasukan mempunyai tempoh persediaan yang lebih panjang menjelang kempen baharu,” kata TEG Sport dalam satu kenyataan.
Penganjur turut memaklumkan semua tiket yang telah dibeli sebelum ini kekal sah untuk digunakan pada tarikh baharu dan penyokong tidak perlu melakukan sebarang pertukaran atau pengemaskinian tiket.
Sebaliknya, mereka hanya perlu membawa tiket sedia ada untuk memasuki stadium pada hari perlawanan.
Bagaimanapun, bagi penyokong yang tidak dapat menghadiri perlawanan pada tarikh baharu tersebut, bayaran balik penuh 100 peratus akan diberikan, termasuk yuran kemudahan sebanyak tiga peratus.
Permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui emel kepada [email protected] dengan menyertakan maklumat tempahan.
Permohonan perlu dikemukakan sebelum atau pada 30 Jun 2026 dan proses pembayaran dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari bekerja. – UTUSAN




