SEREMBAN: Golongan muda di negara ini diseru untuk terus menyuburkan budaya pemikiran kritis, namun setiap idealisme dan teguran yang dilontarkan haruslah berdiri di atas paksi ilmu serta keutuhan akhlak yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan sentiasa berlapang dada dan bersikap terbuka dalam menerima sebarang kritikan daripada generasi pelapis berkenaan, termasuklah yang melibatkan kepimpinan beliau sendiri.
Bagaimanapun, landasan utama yang mendasari setiap pandangan tersebut perlulah disandarkan kepada prinsip yang murni dan keyakinan yang sahih.
“Sebab itu saya katakan pemikiran kritis itu harus ada.
“Dalam beberapa pertemuan, mereka (anak muda) memberi teguran kepada bapa-bapa mereka, malah kepada Perdana Menteri.
“Kita harus terima dengan baik kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan.
“Kita mahu anak muda kita berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak itu mesti ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini, pada Jumaat.
Tangani politik toksik, ulas isu belia

Kehadiran beliau di pentas utama adalah bagi mengulas serta memberi maklum balas terhadap beberapa isu domestik dan global yang dibangkitkan oleh kepimpinan belia sebelum itu.
Ini termasuklah permasalahan kadar pengangguran, tekanan kos sara hidup, sehinggalah kepada konflik kestabilan geopolitik di Selat Hormuz.
Menyentuh aspek pembangunan negara pula, Anwar menarik perhatian mengenai pelbagai kejayaan ekonomi yang amat membanggakan ketika ini.
Bagaimanapun, beliau kesal kerana masih terdapat segelintir pihak, khususnya dalam kalangan pembangkang, yang sengaja menutup mata dan menolak fakta pertumbuhan tersebut demi agenda tersendiri.
Golongan ini dilihan lebih gemar menolak fakta-fakta pertumbuhan demi melunaskan kepentingan politik yang sempit.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kesal terhadap penularan budaya politik toksik yang kini dilihat semakin menebal dalam naratif pidato segelintir pihak sehingga sanggup mengorbankan pertimbangan idealisme yang sihat.
“Saya dengar ada satu pidato, pertama, dia bayangkan saya dengan Abu Jahal.
“Kedua, dia kata tidak ada pembangunan, kononnya negara dan ekonomi hancur. Ini dia belajar ‘kitab’ mana pun saya tidak tahu.
“Ini petanda hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran kritis yang akhirnya didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu serta akhlak. Inilah pesanan saya kepada anak-anak muda,” tegas beliau.
Hargai kematangan belia

Rentetan daripada perkembangan tersebut, Perdana Menteri menyeru agar seluruh lapisan masyarakat, terutamanya generasi muda, kembali menyuburkan semangat musyawarah.
Sikap berlapang dada ini amat penting dalam menyelesaikan sebarang kemelut demi mencapai muafakat yang terbaik untuk masa depan negara.
Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan yang tinggi atas kematangan yang ditunjukkan oleh generasi pelapis hari ini.
Khususnya buat barisan kepimpinan belia serta Majlis Belia Malaysia (MBM), Anwar memuji keberanian mereka yang sentiasa tampil menyuarakan teguran secara berhemah, tertib, dan membina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




