DBKL nafi dakwaan lepaskan sitaan, hanya pulangkan jagung kerana mudah rosak

DBKL nafi dakwaan lepaskan sitaan, hanya pulangkan jagung kerana mudah rosak

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan tular di media sosial yang menuduh anggota penguat kuasanya melepaskan barangan sitaan kepada penjaja warga asing di Bukit Bintang, kelmarin, kerana menerima rasuah.

DBKL dalam kenyataannya hari ini berkata, insiden berkenaan berlaku pada jam 8.00 malam kelmarin di Jalan Bukit Bintang, membabitkan seorang penjaja warga tempatan yang menjalankan aktiviti menjual jagung bakar tanpa lesen sah.

“Tindakan sitaan sudah diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016, di mana petugas menyita peralatan utama perniagaan termasuk satu unit tong gas dan sebuah troli untuk dibawa ke stor sitaan,” katanya.

Berhubung tindakan menyerahkan semula polistirena putih seperti yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular, DBKL menegaskan ia dilakukan atas dasar pertimbangan kemanusiaan terhadap bahan makanan yang mudah rosak.

“Tindakan dilakukan selepas peniaga berkenaan merayu untuk mendapatkan semula bahan makanan (jagung mentah) yang mudah rosak.

“Mengambil kira sifat bahan makanan berkenaan, petugas memberikan amaran keras dan memulangkan kotak makanan berkenaan. Namun, tindakan undang-undang ke atas peralatan perniagaan yang lain tetap diteruskan secara konsisten,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial satu rakaman kamera papan pemuka yang didakwa menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL bertindak memulangkan semula sebuah kotak polistirena putih kepada seorang penjaja sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top