KPT bantu Sarawak naik taraf i-CATS jadi universiti penuh – Zambry

KPT bantu Sarawak naik taraf i-CATS jadi universiti penuh – Zambry

SAMARAHAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi komitmen untuk mencari jalan penyelesaian isu membabitkan empat penuntut Malaysia yang terjejas susulan masalah pengiktirafan program farmasi yang diikuti di Universiti Alexandria, Mesir.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu timbul berpunca daripada keputusan universiti terbabit yang menukar nama program farmasi kepada Doctor of Pharmacy (PharmD). 

“Apabila pihak Universiti Alexandria menukar nama program itu daripada program farmasi kepada Pharm-D, itu yang menjadi masalah kepada pengiktirafan program kerana tiada makluman kepada pihak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program MySiswa@Job On Campus Universiti Awam Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Sarawak di sini pada Selasa. 

Beliau berkata, pertukaran nama program itu menimbulkan kekeliruan kepada Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) manakala pihak universiti juga tidak membuat pemakluman terkini kepada pihak berkaitan.

“Isu berkenaan tidak membabitkan Agensi Kelayakan Malaysia kerana pengiktirafan profesion farmasi terletak dalam bidang kuasa LFM di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk mencari jalan penyelesaian. 

Sebelum ini, empat penuntut Malaysia yang mengikuti pengajian farmasi di Universiti Alexandria berdepan masalah apabila program PharmD tidak diiktiraf oleh LFM bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan Poison Law, iaitu antara syarat yang perlu dipenuhi sebelum berkhidmat sebagai ahli farmasi di tanah air.

Sebelum ini, pengajian yang ditawarkan kepada mereka melalui surat rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi ialah farmasi, namun program itu dinaik taraf kepada PharmD pada 2019.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, KPT bersedia membantu Kerajaan Negeri Sarawak dalam proses naik taraf Kolej Universiti i-CATS (ICATS) kepada sebuah universiti penuh.

Beliau berkata, hal ini kerana pihaknya menghargai usaha berterusan kerajaan negeri berkenaan dalam memperkasakan bidang pendidikan dan institusi pendidikan tinggi miliknya. 

Baru-baru ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa ICATS telah diiktiraf secara rasmi sebagai universiti penuh selepas menerima keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung status institusi pengajian tinggi itu.

Abang Johari berkata, pengiktirafan itu menjadikan Sarawak kini memiliki dua universiti penuh milik negeri termasuk Universiti Teknologi Sarawak di Sibu.-Bernama 

Mesti Baca

Scroll to Top