KOTA BHARU: Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad dan cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz iaitu Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi memilih untuk berdamai.
Sebelum ini, Azhar yang merupakan Ahli Dewan Negara didakwa telah mengasari Nik Alif Aiman pada satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pihak saling memohon maaf dan menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati serta demi kepentingan semua pihak.
Katanya, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan secara mesra dan telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.
“Kedua-dua pihak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu memudahkan penyelesaian secara bak ini dan berharap agar hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, perbincangan yang berlangsung di sebuah hotel di sini itu turut dihadiri oleh beberapa individu yang lain termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
“Dengan kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak menganggap perkara tersebut telah diselesaikan secara muktamad serta memohon agar semua pihak menghormati privasi dan keputusan yang telah dicapai,” ujarnya.
Utusan Malaysia 1 Jun lalu melaporkan, seorang mahasiswa yang juga cucu kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Pelajar itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan beliau mengasari cucu Tok Guru Nik Aziz pada satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Menurutnya, dakwaan tersebut tidak benar kerana tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku terhadap pelajar tersebut seperti yang didakwa.-UTUSAN




