
Fadillah – Foto fail Bernama
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tekanan ekonomi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat tidak boleh dibiarkan menghakis ikatan perpaduan masyarakat.
Beliau berkata, ketegangan geopolitik bukan sahaja memberi kesan kepada negara terlibat, malah turut memberi impak kepada Malaysia melalui peningkatan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Kenaikan harga barang dan tekanan kos harian ini menimbulkan keresahan serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat…
“Namun, kita harus memastikan bahawa tekanan ekonomi ini tidak menghakis ikatan perpaduan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bilangan 1 Tahun 2026.
Beliau berkata, MPPN turut berperanan membawa naratif yang tepat kepada rakyat bagi membetulkan persepsi salah, menenangkan keadaan dan menggalakkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan provokasi media sosial akibat tekanan ekonomi.
Pada masa sama, Fadillah menyeru semua ahli MPPN untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam memelihara keharmonian dan keutuhan integrasi nasional.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa hasil perbincangan mesyuarat MPPN akan diangkat untuk makluman dan persetujuan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.- Bernama



