Bakti selagi emak masih bernyawa

Bakti selagi emak masih bernyawa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: “Apa yang saya lakukan tak seberapa jika nak dibandingkan dengan pengorbanan emak.

“Cuma saya berdoa semoga dosa saya diampunkan setiap kali buat emak tersenyum walaupun tak dapat lagi mendengar suaranya,” kata Muhamad Farid Nasir.

Muhamad Farid, 34, sudah berkeluarga, mempunyai dua anak berumur empat dan lapan tahun serta bekerja sebagai jurujual di pusat kereta terpakai.

Bagaimanapun, komitmen kerja dan status sebagai ketua keluarga itu tidak menghalang Muhamad Farid daripada menjaga ibu tercinta, Norjonaini Mohd Nor, 62, yang terlantar sejak diserang angin ahmar, Mac tahun lalu.

Berkongsi kisahnya sebagai penjaga, Muhamad Farid berkata, dia tidak berseorangan kerana dibantu isteri, Suellina Sulaiman, 34, dan kakak sulung, Noor Hafizah Nasir, 35, yang menetap di Bangi, Selangor.

Bagaimanapun, Muhamad Faris tinggal bersama ibunya, jadi dia yang lebih banyak menghabiskan masa dengan wanita itu ketika berada di rumah.

“Emak asalnya normal, namun diserang angin ahmar kali pertama lima minit selepas sahur pada Ramadan tahun lalu iaitu dalam bulan Mac.

“Waktu itu, emak rebah dengan tiba-tiba dan apa yang berlaku menyebabkan emak lumpuh bahagian kiri badan serta diserang sawan dalam 30 hingga 40 kali.

“Jun tahun lalu iaitu pada hari Arafah, emak diserang angin ahmar kali kedua yang menyebabkannya lumpuh seluruh badan.

“Lebih 20 hari juga emak ditahan di Hospital Kajang sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Waktu di wad, saya berpeluang ajar orang lain cara menguruskan ibu bapa dan teruskan menerusi perkongsian video di TikTok kerana nak beri kesedaran terutama buat anak lelaki supaya menjaga orang tua mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Reko Mutiara, di sini, semalam.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia tiada pengalaman menjaga ahli keluarga sakit, jadi agak kasar ketika fasa awal penjagaan selepas ibunya diserang angin ahmar kali pertama.

“Saya ada marah emak dan jadi begitu kerana nak dia cepat sembuh, akibatnya saya yang dapat slipped disc (cakera tulang belakang teranjak).

“Tak boleh nak kawal emosi kerana emak pun ada berkelakuan macam budak-budak waktu itu tapi selepas emak diserang angin ahmar kali kedua, timbul rasa bersalah dalam diri.

“Perasaan itu membuatkan saya susah nak tidur hampir empat bulan kerana sedar yang saya sepatutnya melayan dengan baik dan curahkan kasih sayang kepada emak.

“Disebabkan itu, saya cuba tebus kesalahan dengan buat sehabis baik dan mungkin asbab menjaga emak, urusan saya dipermudahkan,” katanya.

Berkongsi rutin hariannya, Muhamad Farid berkata, dia bangun seawal jam 6 pagi dan akan menguruskan ibunya termasuk memberi minum susu sebelum keluar dari rumah untuk menghantar anak ke sekolah.

“Dalam jam 9 pagi, saya akan pergi kerja dan pantau emak menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sementara menunggu kakak datang dan bantu uruskan emak.

“Jam 1 tengah hari, saya akan pulang ke rumah untuk beri minum susu dan bantu tukar lampin pakai buang, kemudian kembali bekerja serta pantau emak menerusi CCTV.

“Dalam jam 5.30 petang, kakak akan datang ke rumah untuk bantu uruskan emak termasuk beri minum susu. Begitulah rutin harian kami setiap hari pada hari bekerja,” katanya.

Menurutnya, isteri dan anak memahami, malah dia juga sudah dapat membiasakan diri serta membahagikan masa dengan baik.

“Bila anak tengok saya melayan emak, mereka pun secara semulajadi akan ikut buat kebaikan. Saya nampak anak bongsu rapat dan suka melayan neneknya.

“Saya pun sentiasa wangikan emak supaya anak suka nak dekat dengannya, jadi tiada masalah berbanding ketika permulaan dulu.

“Sekarang saya pun jadi lebih rapat dengan kakak kerana dulu, kami buat hal masing-masing dan itu hikmahnya selepas emak jatuh sakit.

“Secara tak langsung, kami dapat gembirakan emak kerana sejak dulu, dia nak kami bersatu sebagai adik-beradik,” katanya.

Muhamad Farid berkata, dia sedar agak sulit untuk ibunya kembali sembuh melainkan dengan keajaiban.

Meskipun begitu, dia bersyukur kerana masih diizinkan Allah SWT untuk menjaga ibu walaupun dalam keadaan terlantar.

“Masa remaja dulu, saya anak lelaki yang keras dan tak rapat dengan emak. Waktu itu, saya tak cium atau tahu macam mana nak ungkapkan sayang terhadapnya.

“Tapi sekarang, saya selalu bermanja dengan peluk dan cium emak, cuma tak dapat belaian emak kerana keadaannya yang begitu.

“Tapi saya bersyukur kerana Allah SWT masih panjangkan umur emak kerana selagi bernyawa, masih ada doa seorang ibu buat saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top