
Siasatan awal polis mendapati pembunuhan itu berkemungkinan didorong oleh rasa tidak puas hati peribadi dan konflik berkaitan pekerjaan. – Foto Agensi
BANGKOK – Seorang pempengaruh maut ditembak bekas teman lelakinya ketika dia sedang melakukan panggilan video dengan kekasih baharunya.
Jasad mangsa dikenali sebagai Pon, 26, dengan kesan luka tembakan ditemui di bersebelahan kereta Honda Jazz miliknya di Phahon Yothin Road, Thailand pada Isnin.
Anaknya yang berusia dua tahun yang menaiki kenderaan sama bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut laporan Guang Ming Daily, pelaku, Beer, 42, mahu bertemu dengannya selepas menawarkan diri untuk membawa minyak berikutan keretanya sudah kehabisan bahan api.
“Ketika itu, Pon membuat panggilan video dengan kekasihnya, Kla hingga mencetuskan pertengkaran dengan Beer dan disusuli dengan bunyi tembakan sebelum talian terputus secara tiba-tiba.
“Pelaku kemudiannya melarikan diri dengan sebuah trak. Kelongsong peluru sembilan milimeter ditemui di lokasi kejadian,” jelas laporan itu lagi.
Siasatan awal polis mendapati pembunuhan itu berkemungkinan didorong oleh rasa tidak puas hati peribadi dan konflik berkaitan pekerjaan.
Beer dipercayai berang selepas mangsa yang mempunyai kira-kira 200,000 pengikut di TikTok memutuskan hubungan mereka dan kembali semula kepada Kla. Situasi semakin buruk selepas Pon turut membuat aduan tentang salah laku dilakukan bekas teman lelakinya kepada penyelia hingga menyebabkan suspek dibuang kerja.
Difahamkan, berlaku insiden kejar-mengejar antara pihak berkuasa dan Beer di lebuh raya Nakhon Ratchasima sebelum kejadian itu berakhir apabila tayar kenderaannya pancit.
Apabila pegawai menghampiri kenderaan itu, mereka mendapati suspek sudah meninggal dunia di dalamnya dan dipercayai telah mengambil nyawanya sendiri.
Sebelum kejadian itu, Beer dilaporkan telah menghubungi seorang rakan bagi meminjam wang yang mahu digunakan untuk melarikan diri. – Agensi



