Apa jadi jika Bab-el-Mandeb tutup sepenuhnya?

Apa jadi jika Bab-el-Mandeb tutup sepenuhnya?

KONFLIK Asia Barat terkini menyaksikan kumpulan Houthi di Yemen mengumumkan penutupan Selat Bab-el-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden kepada semua kapal Israel.

Sebagai antara laluan perkapalan tersibuk di dunia dan juga laluan penting bagi kapal yang berulang-alik ke dan dari Terusan Suez, sekiranya berlaku penutupan penuh sepertimana Selat Hormuz, tidak mustahil negara akan turut menerima tempias.

Ketua Ahli Ekonomi, Center for Market Education, Alvin Desfiandi berkata, jika Selat Bab-el-Mandeb ditutup sepenuhnya ia berpotensi membawa kesan buruk kepada Malaysia berikutan ia kini menjadi laluan alternatif utama bagi minyak mentah Teluk yang dialihkan melalui Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi selepas gangguan di Selat Hormuz.

“Jika Bab el-Mandeb turut ditutup, Malaysia akan kehilangan kedua-dua laluan bekalan utama dan laluan alternatif secara serentak.

“Dari sudut eksport pula, penghantaran gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit Malaysia ke pasaran Eropah serta Afrika juga bergantung kepada koridor ini, menjadikan kesannya berlaku dalam kedua-dua arah (import dan eksport),” katanya kepada Sinar Bisnes.

Menurut Alvin, susulan kesan signifikan sekiranya Selat Bab el-Mandeb ditutup sepenuhnya, berkemungkinan lima segmen utama akan terjejas.

Paling utama, bekalan bahan api, ini memandangkan inventori minyak komersial Malaysia hanya mampu menampung sekitar satu hingga dua bulan dan negara tidak mempunyai rizab petroleum strategik yang formal.

“Berikutnya, kewangan kerajaan, ini kerana bil subsidi bahan api bulanan telah melonjak daripada RM700 juta kepada RM4 bilion akibat gangguan di Selat Hormuz sahaja.

“Seterusnya, segmen sarung tangan getah, apabila kos Nitrile Butadiene Rubber (NBR), iaitu bahan berasaskan petroleum, meningkat kira-kira 50 peratus, ia sekali gus mengancam pegangan Malaysia yang merangkumi sekitar 45 peratus bekalan global,” katanya.

Ini diikuti segmen elektrik dan elektronik serta pembuatan, ini berikutan kadar tambang perkapalan boleh meningkat sehingga tiga kali ganda dan tempoh penghantaran bertambah sehingga dua minggu bagi laluan yang terjejas.

“Dan tentu sekali, segmen petrokimia dan berasaskan plastik, apabila harga resin Polyethylene Terephthalate (PET) dilaporkan meningkat sehingga dua kali ganda, ini sekali gus memberi kesan berantai kepada pembungkusan makanan, pertanian dan barangan pengguna,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menyarankan agar rakyat tidak panik namun menegaskan situasi ini memerlukan tindakan segera yang tersusun dan bukannya sikap sambil lewa.

Ujarnya lagi, Malaysia menghasilkan kira-kira 48 peratus minyak mentahnya sendiri dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.7 peratus walaupun berdepan ketidaktentuan semasa.

“Namun tempoh Jun hingga Julai diakui kerajaan sebagai tempoh kritikal, manakala Petronas pula memberikan jaminan bekalan secara bulanan dan bukannya berdasarkan rizab yang selesa.

“Selain itu, Malaysia tidak mempunyai rizab petroleum strategik formal seperti Jepun (247 hari) atau Korea Selatan (208 hari).

“Pembelian panik hanya akan memburukkan keadaan. Respons yang tepat ialah rakyat kekal tenang, manakala kerajaan mengambil tindakan segera dan berkesan,” katanya.

Ditanya bagaimana untuk meminimalkan impak ekonomi daripada penutupan Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb (jika ditutup sepenuhnya), Alvin berkata, ia bergantung kepada jangka masa yang dipertimbangkan.

Katanya lagi, dalam jangka pendek, Malaysia boleh mengalihkan sumber minyak mentah melalui Cape of Good Hope dari Afrika Barat, Pantai Teluk Amerika Syarikat dan Fujairah, seperti yang sedang diusahakan menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain itu, penggunaan biodiesel B12 boleh dipercepatkan bagi mengurangkan permintaan terhadap diesel berasaskan petroleum.

“Bagi jangka sederhana, Malaysia boleh mewujudkan rizab petroleum strategik formal yang mampu menampung bekalan selama 60 hingga 90 hari, melaksanakan pemetaan rantaian bekalan bagi 106 import kritikal yang bergantung kepada Hormuz, serta meneroka pembentukan rizab tenaga serantau di peringkat ASEAN.

“Sementara bagi jangka panjang, negara perlu mempelbagaikan sumber tenaga dengan mengurangkan kebergantungan kepada gas dan arang batu import melalui pembangunan tenaga solar berskala besar serta hidroelektrik serantau,” katanya.

Ujar Alvin, Malaysia juga perlu meningkatkan kapasiti perkapalan nasional bagi mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing untuk kargo strategik.

Selain itu, ia perlu menstruktur semula subsidi bahan api daripada kawalan harga menyeluruh kepada bantuan bersasar berdasarkan pendapatan supaya lebih banyak ruang fiskal dapat diwujudkan untuk melabur dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Mesti Baca

Scroll to Top