
Pisit Tanprasert (tengah) memberi taklimat kepada media mengenai perkembangan siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Balai Polis Sangkhla Buri pada Ahad. Foto: Piyarach Chongcharoen
BANGKOK – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun didakwa membunuh adik tirinya yang berusia tujuh tahun selepas pertengkaran mengenai penggunaan telefon bimbit di daerah Sangkhla Buri, wilayah Kanchanaburi, Thailand.
Ketua Polis Wilayah 7, Leftenan Jeneral Pisit Tanprasert berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai dibunuh di rumah mereka di Ban Thi Khrong, Tambon Prang Phle, pada petang 30 Mei lalu.
Menurut beliau, kedua-dua kanak-kanak itu mempunyai ibu yang sama tetapi berlainan bapa dan sering bertengkar, termasuk mengenai penggunaan telefon bimbit.
“Suspek dipercayai menyebabkan mangsa mati akibat sesak nafas selepas berlaku pertengkaran,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Beliau berkata, mayat mangsa pada mulanya disembunyikan di dalam almari di rumah sebelum dibawa keluar pada malam kejadian oleh bapa saudara mereka yang berusia 17 tahun.
Remaja lelaki itu didakwa membawa mayat mangsa ke sebuah ladang getah kira-kira 600 meter dari rumah sebelum meninggalkannya di situ.
Guni yang digunakan untuk mengangkut mayat mangsa turut dibakar berhampiran lokasi berkenaan.
Menurut Pisit, ibu mangsa terkejut apabila dimaklumkan mengenai hasil siasatan polis kerana kedua-dua remaja terbabit tidak pernah menceritakan apa yang berlaku sejak kehilangan kanak-kanak itu.
Pihak berkuasa turut menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa yang mengalami tekanan emosi susulan kejadian tersebut.
Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan pada 1 Jun lalu.
Laporan awal sebelum ini menyebut terdapat tanda-tanda yang dipercayai menunjukkan berlakunya serangan seksual terhadap mangsa.
Bagaimanapun, polis berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan mengesahkan semua unsur jenayah yang mungkin terlibat.
Kedua-dua remaja berkenaan kini dianggap sebagai suspek utama dalam kes tersebut.-Agensi



