100,000 anggota keselamatan bertugas di Mexico

100,000 anggota keselamatan bertugas di Mexico

Mexico City: Ribuan anggota polis bersenjata kini mengawal kawasan tumpuan pelancong di Mexico City ketika pihak berkuasa memperketat langkah keselamatan menjelang sepak mula Piala Dunia 2026.

Perlawanan pembukaan kejohanan itu akan berlangsung di ibu negara Mexico pada awal pagi Jumaat membabitkan tuan rumah menentang Afrika Selatan.

Pesta bola sepak terbesar dunia itu berlangsung hanya tiga bulan selepas pembunuhan seorang ketua kartel dadah berpengaruh mencetuskan insiden tembak-menembak dan sekatan jalan raya di barat Mexico yang mengorbankan lebih 60 nyawa.

Mexico dijangka menerima lebih lima juta pelawat sepanjang kejohanan yang dianjurkan bersama Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun jumlah itu besar, lonjakan pelancong bukan sesuatu yang luar biasa bagi negara berkenaan yang saban tahun menerima jutaan pelawat dari seluruh dunia.

Sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan dikenali sebagai Plan Kukulkan, pihak berkuasa menggerakkan hampir 100,000 anggota tentera, polis dan kakitangan keselamatan swasta bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar.

Ketua Polis Mexico City, Pablo Vazquez berkata, bandar raya itu mempunyai pengalaman luas mengendalikan acara bertaraf antarabangsa.

“Bandar ini mempunyai banyak pengalaman dalam menganjurkan acara seperti ini serta menguruskan pergerakan orang ramai.

“Ada keyakinan bahawa semuanya akan berjalan lancar,” katanya kepada AFP.

Ini adalah kali ketiga Mexico menjadi tuan rumah Piala Dunia selepas edisi 1970 dan 1986.

Namun, beberapa hari sebelum kejohanan bermula, negara itu turut berdepan cabaran apabila ribuan guru mengadakan protes dengan menutup lebuh raya dan beberapa jalan utama.

Keadaan itu memaksa kerajaan memasang penghadang logam di sekitar Dataran Zocalo, lokasi bersejarah yang akan menjadi zon rasmi penyokong sepanjang kejohanan.

Zocalo bakal menempatkan skrin gergasi untuk siaran langsung perlawanan dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dijangka turut menyaksikan aksi pembukaan di lokasi berkenaan.

Protes yang berlarutan turut memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di Mexico City, manakala pihak berkuasa bimbang kumpulan penunjuk perasaan akan meneruskan ancaman untuk menutup lebih banyak jalan menjelang aksi pembukaan.

Bagaimanapun, Sheinbaum memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan majlis pembukaan dan kejohanan berlangsung dengan aman.

“Kami akan menjamin bahawa pembukaan Piala Dunia dapat dilaksanakan dengan baik, dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top