puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enggan melatah meskipun periuk nasinya cuba ditutup, pelakon Datuk Remy Ishak mendedahkan amalan hasut-menghasut untuk menyingkirkan namanya daripada sesebuah projek masih berlaku dalam industri hiburan sehingga hari ini.
Remy atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 44, berkata situasi itu bukan kali pertama dilaluinya, malah pernah berlaku beberapa kali sepanjang bergelar anak seni.
“Sampai sekarang pun masih berlaku. Ada beberapa projek yang saya malas nak cakap, tetapi tak mengapalah.
“Setiap orang ada fasa dia kan, jadi saya terima saja. Sabar, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Sesi Tayangan Media filem Khadam di GSC Midvalley, di sini, semalam.
Ditanya sama ada dia mengenali rapat individu atau pelakon yang terbabit sehingga mencetuskan teka-teki dalam kalangan netizen mengenai naskhah yang dimaksudkan, Remy menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.
“Saya orang yang terluka, tetapi tidak mengapalah. Saya percaya kepada rezeki. Orang tutup pintu rezeki kita, tapi 10 (pintu rezeki) Allah buka. Saya selalu percaya macam itu,” katanya.
Gara-gara tindakan segelintir pihak yang cuba untuk menutup periuk nasinya, pelakon filem Pulang ini menjelaskan ia memberi kesan di sebalik ‘kehilangannya’ sebelum ini sehingga disalah erti oleh orang ramai.
“Orang ingat saya senyap dan tidak mahu berlakon lagi, padahal saya tidak ada kerja ketika itu. Saya pun tidak tahu kenapa. Alhamdulillah tahun ini ada (filem) Kifarah, Mikael dan Khadam.
“Sebelum ini ramai tertanya-tanya ke mana saya menghilang, sedangkan saya sendiri rasa seperti ‘ditanam’,” katanya.
Enggan mendedahkan identiti individu yang cuba menjatuhkannya, Remy reda dan menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada persaingan dalam industri hiburan tempatan.
“Cukuplah, benda dah berlaku. Ada yang baharu dan ada juga yang seangkatan dengan saya. Ini persaingan dan juga perniagaan.
“Orang baik memang selalu kena pijakkan? Begitulah. Tetapi tidak mengapa, saya reda, saya percaya jalan untuk saya memang Allah sudah sediakan.
“Tutup macam mana pun Allah bagi peluang lagi. Insya-Allah. Doakanlah saya,” kongsinya.
Terdahulu, menerusi audio siar SembangOhhYeah, Remy mendedahkan wujud cubaan pihak tertentu yang mengugut penerbit filem untuk menggugurkan namanya daripada sebuah projek.
Pihak terbabit didakwa meletakkan syarat sama ada menyingkirkan Remy atau dia sendiri yang akan menarik diri daripada filem berkenaan.
Lebih mengecewakan, Remy berkongsi namanya disenaraikan untuk projek terbabit, malah dia juga sudah menerima skrip dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp produksi sebelum disingkirkan pada saat-saat akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




