firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurusan PDRM FC bertekad untuk menyelesaikan sepenuhnya baki tunggakan gaji pemain sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 membuka tirainya pada Ogos depan.
Pengurus PDRM FC, Shamshul Hisham Abd Razak berkata, pihaknya kini sedang memberi tumpuan untuk melangsaikan baki tunggakan yang masih berbaki antara tiga hingga empat bulan selepas berjaya menjelaskan sebahagian besar tunggakan sebelum ini.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan perancangan pasukan bagi musim baharu tidak terjejas selain membolehkan skuad The Cops memulakan kempen dengan keadaan kewangan yang lebih stabil.
“Kita kena bayar yang musim lepas dan perlu berpijak di bumi yang nyata mengikut kemampuan kewangan yang ada. Kita akan mengikut saranan dan nasihat kepimpinan atasan untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan.
“Ramai mungkin tidak tahu bahawa kita sebenarnya sudah membayar lapan bulan gaji pemain dan kini hanya berbaki tiga hingga empat bulan sahaja lagi.
“Kalau boleh, saya mahu menjelang Julai nanti kita dapat membersihkan segala tunggakan supaya pasukan boleh fokus sepenuhnya kepada persiapan musim depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Peluncuran Dinar Emas dan Penyerahan Penajaan PDRM FC yang berlangsung di sini, semalam.
Shamshul menjelaskan selain tunggakan gaji pemain, pihak kelab juga sedang menyelesaikan beberapa komitmen lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cukai pendapatan serta tanggungan berkaitan yang lain.
Katanya, sebaik sahaja semua liabiliti itu dilunaskan, barulah perancangan bagi musim baharu dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun mengikut kemampuan kewangan semasa pasukan.
“Kita tahu ada pemain sedia ada yang akan berhijrah ke kelab lain. Jadi kalau boleh kita mahu selesaikan semua tunggakan supaya perancangan mereka dan pasukan tidak terganggu.
“Fokus utama sekarang adalah menyelesaikan tunggakan dan mengukuhkan kedudukan kewangan kelab. Ini tahun pertama kita berdepan masalah seperti ini dan sudah tentu kita tidak mahu ia berulang lagi, lebih-lebih lagi kerana kita membawa imej sebuah badan beruniform,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shamshul berkata, suntikan dana yang diterima pasukan ketika ini memberi sedikit kelegaan kepada pengurusan untuk merancang masa depan kelab.
Menurutnya, PDRM FC menerima sumbangan berjumlah kira-kira RM6 juta, namun sebahagian besar dana itu perlu digunakan terlebih dahulu bagi melangsaikan komitmen tertunggak yang dianggarkan melebihi RM2 juta.
“Baki yang ada akan digunakan untuk persiapan pasukan termasuk latihan dan keperluan menghadapi musim baharu. Alhamdulillah, kita juga mempunyai ramai anggota polis yang bermain bersama pasukan ini,” katanya.
Sepanjang musim 2025/2026, PDRM FC menjadi antara pasukan yang berdepan tekanan kewangan apabila isu tunggakan gaji pemain berulang kali menghimpit skuad The Cops.
Susulan itu, PDRM FC terperosok di tangga tercorot Liga Super daripada 13 pasukan bertanding dengan hanya meraih 11 mata daripada 24 aksi dilalui sepanjang musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




