GEORGE TOWN – Data terkini berkaitan kehilangan pekerjaan di negara ini bagi Mei akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan diadakan pada Khamis.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihak kementerian lazimnya akan menunggu data lengkap bagi bulan berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Saya belum umumkan lagi data terkini dan esok boleh sedia. Insya-Allah saya akan kongsikan maklumat terkini kerana biasanya kita menunggu data lengkap bulan berkenaan untuk memberi gambaran yang lebih tepat.
“Walaupun perkongsian sebelum ini dibuat secara terus terang, angka-angka tersebut perlu dilihat secara holistik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) di Bayan Lepas pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jumlah pemberhentian pekerja pada Mei menunjukkan peningkatan atau penurunan berbanding April.
Sebelum ini, Akmal ketika taklimat mengenai krisis bekalan global selepas MTEN berkata, seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.
Beliau dilaporkan berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian walaupun jumlah berkenaan lebih rendah berbanding awal tahun ini.
Akmal menambah, jumlah kehilangan pekerjaan pada April masih lebih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari, namun peningkatan bulan ke bulan memerlukan pemantauan rapi.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, kerajaan akan turut memaklumkan langkah-langkah yang sedang dan akan dilaksanakan bagi membantu pekerja yang terkesan dengan situasi berkenaan.
“Sudah pasti kita akan menyatakan tahap terkini untuk bulan Mei dan langkah-langkah untuk terus membantu para pekerja yang terkesan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Kementerian Ekonomi kekal memberi tumpuan penuh terhadap usaha menguruskan cabaran ekonomi semasa selain memastikan agenda pembangunan negara berjalan seperti dirancang.
Menurutnya, kerajaan juga komited merealisasikan agenda pembangunan industri semikonduktor negara menerusi inisiatif ‘Made by Malaysia’ dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi pembangunan wilayah, kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan pemain industri.
“Kita tetap memberi tumpuan penuh kepada pengurusan krisis.
“Pada masa yang sama, dedikasi kita kepada Rancangan Malaysia dan sektor semikonduktor supaya agenda ‘Made by Malaysia’ menjadi kenyataan akan diteruskan,” katanya.



