
Mahfuz Omar
SHAH ALAM – Keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi masih mahu menerajui Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tindakan yang mengelirukan dan menghina kematangan rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar, menyifatkan situasi itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri yang sudah bercerai tetapi masih tinggal serumah kerana berebut kepentingan tertentu, sambil mendakwa rakyat kini semakin muak dengan perebutan kuasa antara kedua-dua parti berkenaan.
Menurutnya, rakyat sedang memikirkan masa depan negara, namun pemimpin politik terbabit masih terperangkap dalam pertikaian berkaitan kedudukan dan pengaruh politik.
Mahfuz mendakwa keengganan Pas melepaskan jawatan peneraju dalam PN walaupun telah memutuskan kerjasama dengan Bersatu menunjukkan kepentingan kuasa mengatasi prinsip perjuangan.
Beliau berkata, sekiranya Pas benar-benar berpegang kepada prinsip, parti itu sepatutnya keluar daripada PN secara terhormat dan tidak terus berada dalam gabungan berkenaan.
Selain itu, beliau turut mendakwa penggunaan retorik agama dan hujah maslahah dijadikan benteng bagi menghalang ahli akar umbi daripada mempersoalkan tindakan terhadap rakan sekutu politik.
Mahfuz juga mendakwa tindakan Pas kekal dalam PN sambil memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah strategi untuk memaksa parti itu mengambil langkah terlebih dahulu terhadap mereka.
Katanya, ketika rakyat berdepan cabaran kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan masa depan keluarga, pemimpin politik sepatutnya memberi tumpuan kepada isu rakyat, bukannya terlibat dalam percaturan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sehubungan itu, beliau mendesak semua parti politik menghentikan apa yang disifatkan sebagai “drama perkahwinan plastik” dan mengambil pendirian yang jelas sekiranya tidak lagi sehaluan.



