Rosmah Diarah Bayar RM67.5 Juta Selepas Gagal Pulangkan 43 Barang Kemas

Rosmah Diarah Bayar RM67.5 Juta Selepas Gagal Pulangkan 43 Barang Kemas

Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, selepas didapati bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.

Memetik laporan Berita Harian, Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu hari ini dan memerintahkan bayaran ganti rugi berkenaan dijelaskan dalam tempoh sebulan.

Mahkamah turut mengarahkan Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar kos RM150,000, masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga.

Ketika membacakan penghakiman, Quay berkata terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barang kemas yang diserahkan kepadanya oleh syarikat berkenaan.

Menurut mahkamah, empat fakta utama tidak dipertikaikan iaitu 44 barang kemas telah diserahkan dan diterima Rosmah, ia diamanahkan kepadanya di bawah pengaturan konsainan, beliau tidak pernah membeli atau membayarnya, dan 43 daripadanya gagal dipulangkan.

“Defendan gagal memulangkan 43 daripada barang kemas itu dan fakta ini adalah muktamad. Setelah penyerahan, pemilikan dan kegagalan pemulangan dibuktikan, beban tidak lagi terletak pada plaintif untuk membuat spekulasi mengenai apa berlaku ketika barang berada dalam jagaan defendan,” katanya.

Global Royalty memfailkan saman pada Mac 2023 dengan mendakwa Rosmah memberi maklumat tidak benar bahawa kesemua 44 barang kemas yang dipinjamkan kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia.

Bagaimanapun, syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada barang kemas terbabit dapat dikenal pasti dalam simpanan pihak berkuasa, manakala baki 43 lagi tidak dapat dikesan.

Menurut hakim, selepas bertahun-tahun prosiding dan pemeriksaan dijalankan, hanya satu barang kemas berjaya dikenal pasti dan dipulangkan kepada plaintif.

“Selain daripada satu barang kemas itu, tiada keterangan yang membuktikan bahawa baki 43 barang kemas itu pernah disita oleh PDRM.”

Mahkamah turut menolak tuntutan Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang sebelum ini dinamakan sebagai pihak ketiga dalam kes tersebut.

“Kegagalan defendan memanggil saksi material yang didakwa terbabit secara langsung dalam pengendalian dan pergerakan barang kemas itu turut menjejaskan pembelaannya. Kegagalan berkenaan menimbulkan inferens buruk terhadap defendan menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan,” katanya.

Hakim turut menegaskan bahawa dakwaan barang kemas itu dirampas polis merupakan pembelaan yang dikemukakan oleh Rosmah sendiri dan beban untuk membuktikannya terletak pada pihak defendan.


Scroll to Top