BERSATU Terengganu kekal sokong kerajaan pimpinan Ahmad Samsuri

BERSATU Terengganu kekal sokong kerajaan pimpinan Ahmad Samsuri

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: BERSATU negeri kekal menyokong kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar walaupun PAS pusat memutuskan menghentikan hubungan kerjasama politik dengan parti itu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris berkata, empat wakil rakyat daripada parti juga diminta terus bertugas bagi membantu kerajaan ke arah menjamin kestabilan rakyat.

Katanya, semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut diminta melaksanakan tanggungjawab bagi merealisasikan impian kerajaan menjadikan Terengganu negeri bahagia.

“Alhamdulillah, kita akan terus bekerjasama dan menyokong bagi memastikan kestabilan rakyat,” katanya ketika dihubungi selepas selesai mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang dipengerusikan Ahmad Samsuri di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dilaporkan berkata, tiada rombakan dalam barisan EXCO kerajaan negeri susulan perkembangan hubungan antara PAS dan BERSATU.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 lalu, BERSATU memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri berkata, tiada perbincangan mengenai kedudukannya sebagai EXCO dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU disentuh pada mesyuarat itu.

“Perjalanan mesyuarat dipengerusikan Ahmad Samsuri berjalan lancar serta cukup mesra dan tidak menyentuh langsung soal kedudukan kita dan empat ADUN BERSATU.

“Kita menyokong penuh dan menyambut baik kenyataan Ahmad Samsuri tiada rombakan dalam barisan EXCO kerajaan negeri susulan perkembangan hubungan antara PAS dan BERSATU,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top