Takaful bayar manfaat RM10.61 bilion kepada pemegang sijil pada 2025

Takaful bayar manfaat RM10.61 bilion kepada pemegang sijil pada 2025

KUALA LUMPUR – Industri Takaful menyalurkan manfaat sebanyak RM10.61 bilion kepada pemegang sijil sepanjang 2025, mencerminkan peranannya sebagai antara jaringan perlindungan kewangan utama kepada rakyat ketika berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan kehidupan.

Pengerusi Interim Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Borhanudin Samsudin berkata, prestasi tersebut dicapai susulan pertumbuhan industri sebanyak 4.73 peratus tahun lalu yang menyaksikan jumlah sumbangan kasar meningkat kepada RM16.38 bilion, didorong pasca-pandemik yang semakin stabil serta asas industri yang semakin berkembang.

Menurutnya, segmen Takaful Keluarga mencatatkan pembayaran tertinggi sebanyak RM7.91 bilion, dengan tuntutan perubatan kekal sebagai komponen terbesar.

“Jumlah tersebut berada pada paras yang lebih tinggi berbanding RM7.89 bilion yang disalurkan tahun lalu, membuktikan peranan Takaful yang berterusan sebagai jaringan keselamatan sosial.

Takaful bayar manfaat RM10.61 bilion kepada pemegang sijil pada 2025

Takaful bayar manfaat RM10.61 bilion kepada pemegang sijil pada 2025

“Sementara itu, segmen Takaful Am telah melunaskan tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, iaitu peningkatan 16.88 peratus daripada RM2.31 bilion pada 2024, berikutan tuntutan kenderaan bermotor kekal sebagai komponen terbesar daripada jumlah pembayaran.

“Di samping menyediakan perlindungan kewangan, industri Takaful terus menjana nilai bersama menerusi sumbangan zakat sebanyak RM52.25 juta bagi menyokong agenda pembangunan komuniti.

“Selain itu, sejumlah RM1.30 bilion sumbangan lebihan serta manfaat kritikal telah diagihkan kepada peserta yang layak pada tahun 2025,” katanya ketika sesi taklimat Media Prestasi Industri Takaful 2025 oleh MTA, di sini, pada Rabu.

Borhanudin berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan kewangan terus meningkat apabila sebanyak 861,956 sijil baharu Takaful Keluarga dikeluarkan sepanjang tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sijil aktif meningkat kepada 6.74 juta berbanding 6.69 juta pada 2024.

Katanya, peningkatan tersebut menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk mengekalkan perlindungan mereka walaupun berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.

“Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatat prestasi stabil dengan sumbangan sebanyak RM9.74 bilion pada 2025, meningkat sebanyak RM10 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga terus mengekalkan kedudukan kukuh dalam landskap perlindungan negara apabila bahagian pasaran sumbangan perniagaan baharu meningkat kepada 39.44 peratus berbanding 39.16 peratus pada 2024.

“Prestasi berdaya tahan ini turut mencerminkan peningkatan kualiti sumbangan serta keyakinan pengguna terhadap penyelesaian perlindungan patuh syariah,” katanya.

Dalam masa sama, Borhanudin menambah, memandangkan asas industri semakin besar, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan secara semula jadi menjadi lebih kompleks.

“Oleh itu, fokus kami kini beralih ke arah mengekalkan dan mewujudkan ekosistem Takaful yang berkembang selari dengan realiti ekonomi masyarakat Malaysia yang dinamik dan semakin mencabar.

“Sasaran kami adalah bagi memperluas akses perlindungan kepada komuniti terpinggir dan memastikan setiap rakyat Malaysia dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang inklusif dan boleh dipercayai.

“Oleh itu, saya bersyukur kerana inisiatif peringkat industri untuk memantapkan landskap Takaful berjalan lancar, dengan lebih 60 peratus daripada sasaran Hijrah27 telah dicapai setakat tahun 2025,” katanya.

 

 

 

Scroll to Top