Kuala Lumpur: Pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ke atas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terbabit nahas enam sekeluarga di Kuala Muda, Kedah minggu lalu, tertumpu kepada beberapa komponen utama termasuk sistem brek.
Pemeriksaan teknikal itu bermula semalam dan agensi berkenaan menjangkakan laporan menyeluruh akan diserahkan kepada kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selewat-lewatnya esok atau hari ini.
PUSPAKOM dalam satu kenyataan kepada BH menegaskan pihaknya cuma dipertanggungjawabkan oleh polis untuk melakukan pemeriksaan, bukannya menentukan punca kemalangan.
“Buat masa ini kami membantu PDRM menjalankan siasatan kemalangan.
“Fokus PUSPAKOM adalah keadaan beberapa komponen utama seperti sistem brek.
“Perlu ditegaskan PUSPAKOM hanya memeriksa kenderaan terbabit, dan tidak akan menentukan punca kemalangan.
“Setelah selesai, laporan akan diserahkan kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan mereka dan tindakan selanjutnya.
” Sasaran kami adalah untuk menyerahkan laporan kepada PDRM sebelum Khamis (ini),” katanya.
Sebelum ini, polis memaklumkan kenderaan dinaiki mangsa akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan menyeluruh.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar kemalangan maut membabitkan Proton X50 dan lori muatan tanah itu.
Ketika kejadian jam 3.50 petang, Ahad lalu itu, SUV dinaiki tujuh sekeluarga itu sedang menghala ke Sungai Petani untuk ke Merbok bagi menziarahi kubur ahli keluarga lain manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun sedang menghala ke Tikam Batu.
Enam maut dikenal pasti Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, pemandu; Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang juga anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang dan ibu mereka, Nora Mohd Husin, 55.
Turut terkorban Jamaliah Sannusi, 29, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang, bersama bayi mereka, Ahmad Mikail Ahmad Shafiq berusia dua bulan; dan anak saudara mereka, Iskandar Affan Ibrahim, 7.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3, parah pada bahagian muka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




