Ling Ching, Jimmy-Su Yin ke pusingan kedua

Ling Ching, Jimmy-Su Yin ke pusingan kedua

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita No. 2 negara, Wong Ling Ching memastikan tempat ke pusingan kedua menjadi miliknya selepas mengetepikan Aakarshi Kashyap dari India pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.

Ling Ching yang menghuni ranking ke-34 dunia diberi tentangan sengit sebelum menang dalam permainan yang diheret sehingga ke rubber set 21-19, 19-21, 22-20 dalam masa 1 jam 15 minit.

Pada pusingan kedua, anak jati Sarawak itu akan bertemu pemain No. 31 dunia, Huang Yu Hsun dari Taiwan.

Berdasarkan rekod pertemuan, Ling Ching memiliki kelebihan psikologi ke atas Yu Hsun selepas dia mencatat semua kemenangan dalam empat perlawanan lalu.

Turut mara ke pusingan kedua, beregu campuran Malaysia, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang membenam wakil tuan rumah, Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu 21-15, 21-16 dalam masa 37 minit.

Beregu pecah ganding yang kini menghuni ranking ke-151 dunia itu bakal mengharungi laluan lebih getir menentang pasangan No. 13 dunia, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dari Thailand.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil perseorangan Malaysia, Eogene Ewe yang tewas kepada pemain No. 23 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 21-18, 10-21, 15-21 dalam masa 1 jam 4 minit. – UTUSAN

Scroll to Top