Lelaki, wanita ditahan samun dan cederakan pemandu e-hailiing

Lelaki, wanita ditahan samun dan cederakan pemandu e-hailiing

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Seorang lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan mencederakan pemandu e-hailing, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima maklumat kejadian samun bersenjatakan pisau di Terminal Bas Tun Sri Lanang, Kota Tinggi di sini, jam 2.46 semalam.

Menurutnya, kejadian menyebabkan mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 30-an cedera, namun, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan wanita warga tempatan berusia 20-an di sekitar Terminal Bas Tun Sri Lanang, Kota Tinggi di sini, jam 11 pagi.

“Susulan itu, polis menahan suspek lelaki berusia 20-an dekat Dataran Larkin, Johor Bahru, jam 2.30 petang dipercayai terbabit kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau, dan hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua supek negatif dadah.

Bagaimanapun, katanya mereka memiliki rekod jenayah lampau.

“Suspek wanita direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi manakala suspek lelaki akan direman esok di mahkamah sama.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, menerusi maklumat yang tular di media sosial Facebook (FB), mangsa didakwa menerima 10 jahitan di leher.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top