syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon veteran, Azizah Mahzan, 63, berkongsi mengenai prinsip kerjanya yang jarang dilakukan oleh anak seni lain iaitu hanya akan meneliti atau menandatangani kontrak kerja selepas dia menjejakkan kaki dan memulakan tugasan di set penggambaran.
Azizah yang juga tidak mengambil bayaran deposit berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelakkan dirinya terikat atau menjadi mangsa kepada perubahan skrip secara mengejut oleh pihak produksi pada saat-saat akhir.
“Saya tidak akan ambil duit bayaran pertama. Kontrak pun saya tidak akan tanda tangan dahulu. Saya akan masuk ke set, pijak kaki dahulu. Pijak kaki ke set, saya dah bekerja, baru saya tengok kontrak,” katanya kepada Harian Metro.
Azizah mengakui proses itu penting untuk memastikan naskhah yang bakal dijayakannya benar-benar berkualiti dan selari dengan jiwanya selaku seorang pelakon.
Katanya, skrip adalah elemen paling utama yang menjadi penentu kepada keberkesanan sesuatu watak, sekali gus tidak sepatutnya diubah sesuka hati tanpa persediaan rapi.
“Yang paling penting dalam karier kita sebagai pelakon sebenarnya adalah skrip. Itulah jiwanya, itulah ceritanya, itulah watak yang kita nak bawa.
“Sekarang tak ada skrip fizikal, semua dihantar ke telefon pintar sahaja ataupun WhatsApp dan sangat pada saat akhir. Satu lagi, mereka ada kuasa untuk ubah skrip dan merombak jalan cerita pada bila-bila masa.
“Saya pernah menarik diri daripada penggambaran apabila pihak produksi gagal menghormati perancangan asal atau melakukan rombakan skrip yang pada saya agak melampau,” katanya.
Malah, Azizah juga tidak ralat sekiranya terpaksa menanggung sendiri kerugian kos logistik dan penginapan sepanjang tempoh persiapan itu asalkan kepuasan kerjanya tidak dikorbankan.
“Bila sampai keadaan begitu, saya tak apa. Biar saya rugi RM1,000 atau RM1,500 daripada saya nak rugi kepala otak saya. Saya tidak mahu rugi lebih banyak,” katanya.
Azizah ditemui pada tayangan media telefilem Camar Poelang lakonannya dan diarahkan Zairol Fahmee Khairuddin.
Selain Azizah, drama menampilkan barisan pelakon seperti Wan Raja, Faha Azhar, Ku Farisah, Ariel Ganu, Yaacob Aziz, dan Razzuan Rosli akan ditayangkan di TV1 dan RTMKlik pada 20 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




