Buenos Aires: Puluhan rakyat Argentina yang gagal memperoleh visa untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan Piala Dunia secara langsung menerima sedikit hiburan apabila dihadiahkan televisyen percuma.
Konglomerat Argentina, Newsan menawarkan televisyen jenama tempatan, Noblex kepada 100 individu pertama yang hadir di pejabat syarikat itu di Buenos Aires dengan membawa dokumen membuktikan permohonan visa mereka ke AS ditolak antara Januari hingga Jun tahun ini.
Kempen unik itu dipromosikan menerusi media sosial dengan slogan: “Serahkan visa yang ditolak dan bawa pulang televisyen percuma.”
Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai peminat bola sepak beratur seawal pagi untuk merebut peluang berkenaan.
Antara yang bertuah ialah pemain permainan video profesional berusia 24 tahun, Tomas Vageller yang mengakui kecewa kerana gagal menyaksikan aksi Argentina di Piala Dunia.
“Saya memohon visa kerana kami semua beranggapan ini mungkin Piala Dunia terakhir Lionel Messi.
“Saya sangat sedih kerana tidak dapat melihatnya secara langsung, tetapi sekurang-kurangnya saya pulang dengan satu hadiah,” katanya.
Kempen itu hadir ketika ramai penyokong Argentina berdepan kesukaran mendapatkan visa untuk memasuki AS yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada.
Menariknya, demam Piala Dunia di Argentina kali ini dilihat tidak segalak empat tahun lalu ketika negara itu memburu gelaran dunia ketiga di bawah inspirasi Messi.
Pada 2022, ramai penyokong menganggap kejohanan di Qatar sebagai peluang terakhir Messi menjulang trofi paling berprestij dalam bola sepak sebelum bintang itu akhirnya berjaya merealisasikan impian berkenaan.
Kali ini, walaupun Argentina hadir sebagai juara bertahan dan masih dibarisi Messi, kehangatan menjelang sepak mula kejohanan di Amerika Utara dilihat agak sederhana berbanding edisi sebelumnya.
Bagi mereka yang gagal ke AS, televisyen percuma itu sekurang-kurangnya memastikan mereka masih dapat mengikuti perjuangan Argentina dari ruang tamu sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




