PUTRAJAYA – Ancaman jenayah maritim termasuk penyeludupan, pencerobohan perairan dan jenayah rentas sempadan kekal menjadi fokus utama kerajaan dalam usaha mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara.
“Selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itu kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara.
“Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Maritim Malaysia Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Khamis.
Saifuddin berkata, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim antara keutamaan utama negara.
“Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks,” katanya.
Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada April lalu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan sehingga Januari 2028.
Selain itu, katanya, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat helikopter Agusta Westland AW189 tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai.
“Perolehan aset ini akan meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat di seluruh Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, menerusi Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia sejak 16 Mac lalu, Maritim Malaysia berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta setakat 1 Jun.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan Madani dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara,” katanya.
Mengulas perkembangan geopolitik global, beliau berkata, situasi yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.
“Maritim Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau,” katanya.
Sementara itu, seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima APC Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi.
Menurutnya, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara dipilih sebagai penerima APC pada tahun ini berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya.



