Islamabad: Lebih 100 pendaki asing terkandas di daerah pergunungan Gorkha, Nepal, selepas banjir kilat menghanyutkan jambatan dan merosakkan laluan pendakian pada hujung minggu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik akhbar tempatan.
Lima penduduk kampung, termasuk dua wanita, masih hilang selepas kejadian tanah runtuh antara Lokpa dengan Chumling menyekat aliran Sungai Budhi Gandaki, sekali gus mencetuskan banjir di kawasan hilir, lapor portal berita tempatan Online Khabar pada Isnin dengan memetik pihak berkuasa.
Md Shahadat Hossain, seorang pendaki dari Bangladesh yang terkandas di Kampung Jagat, memberitahu Anadolu bahawa sembilan rakyat Bangladesh sedang menunggu kemungkinan dipindahkan menggunakan helikopter.
“Kami terkandas di Jagat sejak semalam. Banjir kilat mengalir turun dari kawasan di atas kampung dan melalui bahagian bawahnya,” katanya.
“Kami selamat, tetapi bekalan elektrik terputus sejak semalam, komunikasi dengan dunia luar terganggu dan bekalan makanan semakin berkurangan,” kata Shahadat.
Beliau berkata, lebih 200 pendaki, termasuk pendaki warga Nepal, berlindung dengan selamat di kampung itu.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, banjir itu memusnahkan beberapa jambatan serta merosakkan rumah, dua menara telekomunikasi dan 50 tiang elektrik.
Pihak berkuasa itu berkata, seramai 437 anggota keselamatan dikerahkan manakala empat helikopter tentera sedang menjalankan operasi menyelamat.
Sekurang-kurangnya 47 orang dipindahkan menggunakan helikopter, katanya.
Laluan pendakian Litar Manaslu, yang terletak berhampiran sempadan Nepal dengan China, adalah antara laluan pendakian popular di banjaran Himalaya, dengan Oktober antara bulan paling sibuk bagi aktiviti berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




