nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: “Ketika kilat menyambar, kami berempat jatuh terbaring dan ketika itu saya lihat badan Ziad berasap,” kata Haziq Qayyum Rosli, 12.
Haziq Qayyum adalah sepupu kepada pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14, yang maut disambar petir ketika memancing di kawasan bendang di Kampung Tasek Berangan jam 4.30 petang.
Dia yang turut cedera di belakang bahu kanan itu berkata, ketika kejadian mereka sedang berjalan ke arah motosikal untuk pulang kerana hujan lebat secara tiba-tiba.
“Kami tiba di bendang jam 4 petang. Namun cuaca tiba-tiba hujan dan saya mengajak Ziad serta rakan lain balik kerana risau hujan semakin lebat, ketika itu masih tiada kilat.
“Bagaimanapun Ziad meminta kami bersabar dan masih mahu memancing memandangkan kami baru tiba dan dia baru mendapat dua ekor ikan.
“Tetapi selepas hujan makin lebat Ziad bersetuju untuk pulang dan ketika berjalan menuju ke motosikal, tiba-tiba kilat begitu kuat dan kami semua jatuh terbaring.
“Ketika itu saya melihat badan Ziad berasap dan kami berlari pulang memaklumkan kepada bapa Ziad,” katanya ketika ditemui di sini, malam ini.
Haziq Qayyum berkata, ketika itu dia menyangka Ziad hanya pengsan sebelum mereka yang lain sampai memaklumkan Ziad sudah meninggal dunia.
“Kami berempat memang suka memancing di kawasan itu dan tidak menyangka kejadian yang berlaku hari ini.
“Saya sangat sedih kerana kami berempat begitu rapat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




