Krisis bekalan global: Kerajaan pastikan keperluan rakyat mencukupi

Krisis bekalan global: Kerajaan pastikan keperluan rakyat mencukupi

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan memastikan keperluan utama rakyat terus stabil dalam menghadapi krisis bekalan global yang masih memberi tekanan kepada pasaran tenaga, makanan, logistik dan kos sara hidup.

Menteri ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan semasa menunjukkan harga minyak mentah Brent (Spot) bagi tempoh 1 hingga 5 Jun lalu mencatatkan purata AS$99.29 setong, menurun 0.9 peratus berbanding AS$100.16 setong pada minggu sebelumnya.

“Dari sudut pasaran kewangan, FBM KLCI ditutup pada paras 1,693.43 mata iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus bagi tiga hari dagangan dari 3 hingga 5 Jun lalu.

“Pergerakan ini menunjukkan pasaran kekal positif dengan keyakian pelabur dan perkembangan ekonomi yang baik,” katanya pada taklimat Krisis Bekalan Global Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata, beberapa komoditi utama negara masih menunjukkan perkembangan positif apabila purata harga kelapa sawit meningkat 1.3 peratus daripada RM4,448.50 satu tan kepada RM4,508.00 satu tan.

“Harga getah pula meningkat 4.0 peratus daripada RM8.95 sekilogram kepada RM9.31 sekilogram,” katanya lagi.

Menurut Akmal Nasrullah, pasaran buruh terus dipantau apabila jumlah tenaga buruh negara meningkat kepada 17.33 juta orang manakala penduduk bekerja turut naik kepada 16.83 juta orang pada April lalu.

Tambahnya, kadar penyertaan tenaga buruh kekal kukuh pada 70.9 peratus menunjukkan lebih ramai rakyat terus berada dalam pasaran kerja.

“Kadar pengangguran negara juga terdapat sedikit peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 3 peratus yang melibatkan 511,800 orang dengan sebahagian besar penganggur iaitu 79.5 peratus masih aktif mencari pekerjaan.

“Terdapat perkembangan positif dari segi penempatan pekerjaan apabila data MYFutureJobs menunjukkan penempatan pekerjaan meningkat 19 peratus, daripada 12,119 penempatan pada April kepada 14,366 penempatan pada Mei lalu,” katanya.

Kata Akmal Nasrullah, kerajaan telah menguruskan krisis bekalan global melalui pendekatan berasaskan data, penyelarasan merentas kementerian dan intervensi bersasar sepanjang 100 hari yang lalu sejak bermula krisis di Asia barat.

Jelasnya, sebanyak 126 keputusan telah diminitkan oleh MTEN, namun hanya 15 telah selesai dilaksanakan, manakala selebihnya sedang dalam tindakan merangkumi langkah jangka sederhana dan panjang.

Beliau berkata, dari sudut tenaga, kerajaan mengambil langkah praktikal untuk mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.

“Sehingga kini, 69 peratus operasi depoh pengadunan bahan api telah beroperasi pada kapasiti maksimum yang diperakui melibatkan adunan biodiesel B12, B15 dan ke atas di Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.

“Selain itu, pemantauan harga makanan diteruskan melalui PriceCatcher apabila Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 Pegawai Pemantau Harga,” ujarnya.

Bagi sektor kesihatan pula, Akmal Nasrullah berkata, bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara secara keseluruhannya kekal stabil.

“Berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan sehingga 8 Mei lalu, 72 peratus item ubat-ubatan berada pada tahap risiko rendah, manakala bagi peranti perubatan, 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah.

“Kerajaan akan terus memperkukuh stok penimbal, memperluas sumber bekalan dan mempercepat akses kepada ubat-ubatan kritikal apabila diperlukan,” jelasnya.

Akmal Nasrullah berkata, dengan asas ekonomi yang kukuh, kedudukan tenaga yang strategik dan pengurusan ekonomi yang berpandukan data, negara berada pada landasan untuk terus bergerak ke hadapan dengan lebih yakin.

Scroll to Top