Hatrik Azrai warnai kemenangan Malaysia

Hatrik Azrai warnai kemenangan Malaysia

PETALING JAYA: Penyerang hoki kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira pasukan apabila meledak hatrik untuk membantu Speedy Tigers membelasah Scotland 5-2 dalam aksi sulung Kumpulan A Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan, hari ini.

Kemenangan tersebut memberi permulaan positif buat jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan memandangkan kejohanan tersebut merupakan aksi sulungnya bersama pasukan kebangsaan.

Dalam aksi tersebut, Malaysia memperoleh gol pertama seawal minit keempat menerusi gol padang Akhimullah Anuar Esook sebelum Azrai menggandakan jaringan pada minit ke-34.

Scotland yang berada di kedudukan ke-17 dunia cuba bangkit apabila Jamie Golden menjaringkan gol lima minit kemudian sebelum Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menjaringkan gol ketiga negara pada minit ke-42.

Penyerang TNB ThunderStars, Azrai berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-49 sebelum Andre McConnell meledak gol kedua Scotland pada minit ke-57.

Azrai melengkapkan hatriknya ketika permainan berbaki seminit hasil gol padang.

Mengulas lanjut, Akhimullah mengakui berasa gembira apabila gol pertamanya berjaya menaikkan motivasi rakan sepasukan untuk memburu kemenangan pertama dalam aksi tersebut.

“Syukur alhamdulillah, kita tahu Scotland memberi saingan sengit kepada kami tetapi apa yang kami lihat, siapa yang ambil peluang pasukan itu yang akan memenangi perlawanan,” katanya.

Selepas ini, Malaysia akan menentang Jepun, esok sebelum bertemu New Zealand (16 Jun) dan Korea Selatan (17 Jun). – UTUSAN

 

 

Scroll to Top