Merdeka tapi sampah merata-rata

SEHARI selepas kita menyambut Hari Kebangsaan ke-69, saya berjalan kaki di Taman Tasik Metropolitan Kepong, sebuah taman yang cantik, hijau dan mendamaikan.
Tetapi, hati saya tidak tenang. Di hadapan saya, tong sampah melimpah. Plastik, botol, cawan, bekas makanan dan pelbagai bungkusan bertaburan serta ditinggalkan begitu sahaja di atas rumput. Sehari selepas merdeka.
Terlintas satu persoalan: Benarkah kita sudah benar-benar merdeka, bukan sekadar sebuah negara, tetapi dalam jiwa, minda dan tingkah laku kita?
Kita sudah 69 tahun bebas daripada penjajahan. Tetapi adakah kita sudah merdeka daripada sikap “tidak apa”? Sudahkah kita merdeka daripada mentaliti “nanti ada orang bersihkan”?
Kita kibarkan Jalur Gemilang. Kita melaungkan “Merdeka!” Kita bercakap tentang patriotisme, perpaduan, maruah dan kecintaan kepada tanah air.
Tetapi merdeka yang sebenar bukan sekadar apa yang kita laungkan pada 31 Ogos. Ia juga terserlah melalui apa yang kita lakukan pada 1 September apabila tiada siapa melihat.
Di sinilah saya fikir kita perlu bermuhasabah. Ini soal kita sebagai rakyat Malaysia dan nilai yang kita mahu wariskan kepada generasi selepas kita.
Tong sampah yang penuh bukan lesen untuk kita menjadikan rumput di sebelahnya sebagai tong sampah kedua. Kalau tong penuh, cari tong lain. Kalau tiada, bawa dahulu sampah itu bersama kita.
Apa sangat beratnya satu cawan plastik, satu botol atau satu beg bekas makanan?
Malaysia sedang bergerak ke hadapan. Kita mahu ekonomi maju. Kita mahu bandar pintar. Kita membina lebuh raya, pengangkutan awam, lapangan terbang, taman dan infrastruktur bertaraf dunia. Kita mahu semuanya kelas pertama.
Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh dibina dengan konkrit, keluli atau berbilion ringgit peruntukan: Minda kelas pertama.
Kerajaan boleh membina taman, menyediakan tong sampah dan menggaji pekerja pembersihan tetapi kerajaan tidak boleh mengeluarkan tender untuk membina kesedaran sivik dalam jiwa kita. Itu tanggungjawab kita sendiri.
Kalau kita tidak sanggup mencampakkan sampah di ruang tamu rumah sendiri, mengapa begitu mudah kita melakukannya di taman? Bukankah Malaysia ini rumah kita juga?
Mungkin inilah merdeka yang masih belum selesai. Kita perlu membebaskan diri daripada penjajahan sikap dan pemikiran sendiri.
Selepas 69 tahun merdeka, mungkin sudah tiba masanya kita mengukur patriotisme bukan hanya melalui sebesar mana Jalur Gemilang yang kita kibarkan atau sekuat mana kita melaungkan “Merdeka!”
Ukurlah juga melalui perkara paling kecil: Apa yang kita lakukan dengan sampah di tangan kita apabila tiada siapa melihat. Kerana cinta kepada Malaysia bukan hanya pada 31 Ogos.
Cinta kepada Malaysia mesti terus hidup pada 1 September, 2 September dan setiap hari selepasnya.
Negara kita sudah merdeka. Sekarang kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Adakah jiwa kita sudah merdeka? Adakah minda kita sudah merdeka?
Adakah tingkah laku kita mencerminkan rakyat sebuah negara yang benar-benar merdeka?
Kalau sampah sendiri pun masih kita harapkan orang lain untuk menguruskannya, mungkin perjuangan merdeka kita sebenarnya belum selesai.

Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid
Rakyat yang sayangkan Malaysia

Scroll to Top