Ambil tindakan segera kawal 'kerosakan' etnik Rohingya – Pakar

Ambil tindakan segera kawal 'kerosakan' etnik Rohingya – Pakar

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu kebanjiran etnik Rohingya di negara ini seharusnya diambil tindakan lebih awal dengan kerjasama negara berkaitan, bukannya ditangani apabila kumpulan pelarian itu sudah memasuki Malaysia.

Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, kerajaan sewajarnya mengadakan kerjasama bersama Myanmar dan Bangladesh bagi membendung kebanjiran warga Rohingya ke Malaysia.

Beliau turut memberi contoh tindakan kerajaan Bangladesh yang membangunkan pusat penempatan alternatif untuk menampung pelarian etnik itu di sebuah pulau terpencil dikenali Bhashan Char.

“Bukannya kita tangani selepas mereka masuk ke dalam negara. Kita boleh bagi kerjasama dengan kerajaan Bangladesh yang telah mewujudkan pulau pelarian untuk mereka (etnik Rohingya) yang dipanggil Bhashan Char,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Mizan berkata, untuk mengawal ‘kerosakan’ sedia ada di dalam negara, antara langkah yang boleh dipertimbang kerajaan adalah melaksanakan profiling atau dokumentasi terhadap semua pelarian Rohingya.

“Kita perlu bezakan antara status pelarian dengan izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan juga pelarian tanpa izin.

“Ini sangat penting kerana apabila kita dapat profiling mereka, kita tahu siapa mereka, asal usul mereka, jaringan mereka, di mana mereka tinggal, apa pekerjaan mereka dan sebagainya.

“Memang kita akan hadapi kesukaran kerana hampir semua mereka ini berisiko tiada asal-usul atau dokumen pengenalan diri kerana mereka tidak dianggap sebagai rakyat yang sah di Myanmar,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan meminda perundangan yang sesuai bagi mengawal kebanjiran warga Rohingya ke negara ini.

“Kalau tidak, ia akan menjadi satu masalah yang lebih besar kepada negara pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, pindaan Perlembagaan perlu dilaksanakan kerana undang-undang sedia ada disifatkannya sangat lemah serta tidak tuntas bagi mengawal pelarian warga Rohingya.

“Contohnya isu berkaitan dengan pembinaan bangunan di atas tanah yang penguat kuasa menghadapi kesukaran disebabkan tuan tanah membenarkannya. Jadi kenapa tidak diambil tindakan ke atas tuan tanah?

“Kalau kata pindaan ini yang mana mereka yang telah ditangkap atau sebagainya didapati menyalahi undang-undang berkait dengan memberikan penempatan atau perlindungan kepada Rohingya, mungkin harta mereka akan disita atau denda sampai RM800,000, RM3 juta atau sebagainya.

“Juga tindakan lain yang akan menjadikan seseorang itu cukup serik untuk membenarkan Rohingya ini bertapak di tempat mereka,” katanya.

Mohd Mizan berkata, warga Rohingya yang ditangkap kerana melakukan kesalahan atau menyalahi undang-undang juga seharusnya tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Katanya, selain melaksanakan profiling, kerajaan wajar menyediakan penempatan dan peluang pekerjaan dengan tujuan mengawal populasi Rohingya agar tidak melanggar undang-undang negara.

“Dalam masa yang sama, kita perlu cari juga penyelesaian dengan menghantar mereka kepada negara ketiga selain mengutip cukai (daripada etnik Rohingya) untuk negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top