New York: Bandar Raya New York memberi penghormatan kepada dua legenda bola sepak dunia dengan menamakan semula beberapa jalan sempena pembukaan Piala Dunia 2026, menurut kenyataan Majlis Bandaraya New York.
Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Canada dan Mexico itu bermula awal pagi esok, manakala perlawanan akhir berlangsung bulan depan di Stadium MetLife yang dinamakan semula sebagai Stadium New York New Jersey sepanjang kejohanan.
Orang ramai berkumpul di persimpangan West 50th Street dan 6th Avenue di Manhattan bagi menyaksikan majlis pelancaran nama jalan ‘Thierry Henry Way, menurut video yang dimuat naik ke media sosial hari ini.
“Pada hari ini, Bandar Raya New York memberi penghormatan kepada salah seorang pemain terbaik yang pernah bermain bola sepak,” tulis ahli Majlis Bandaraya New York, Virginia Maloney, menerusi Instagram.
Bekas bintang Arsenal FC dan FC Barcelona, Thierry Henry yang merupakan anggota skuad Perancis menjuarai Piala Dunia 1998, berkata dalam mesej rakaman di Instagram:
“Saya tidak sabar untuk berjalan di kawasan itu apabila saya kembali ke Rockefeller Center atau Radio City Music Hall nanti.”
Henry, 48, turut mencipta nama di Amerika Syarikat selepas menghabiskan lima musim bersama New York Red Bulls dalam saingan Major League Soccer sehingga 2014.
Selain itu, bandar raya tersebut turut menamakan semula persimpangan Shea Road dan Meridian Road di daerah Queens sebagai penghormatan kepada legenda Brazil, Pele, menurut laman web Majlis Bandaraya New York.
Nama jalan khas sempena dua ikon bola sepak itu akan dikekalkan sehingga 1 November depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




