Piala Dunia 2026 bermula meriah di Azteca, Shakira dan Burna Boy hangatkan pentas

Piala Dunia 2026 bermula meriah di Azteca, Shakira dan Burna Boy hangatkan pentas

Mexico City: Pesta bola sepak terbesar dunia rasmi bermula apabila upacara pembukaan Piala Dunia 2026 berlangsung penuh warna-warni di Estadio Azteca, Mexico City sebelum sepak mula perlawanan pertama kejohanan itu.

Stadium ikonik yang sarat sejarah itu bergema dengan sorakan puluhan ribu penyokong yang membanjiri venue berkenaan bagi menyaksikan detik pembukaan kejohanan yang turut dianjurkan bersama Amerika Syarikat dan Kanada.

Kemuncak acara menyaksikan persembahan bertenaga daripada bintang Colombia, Shakira dan penyanyi Nigeria, Burna Boy yang mempersembahkan lagu rasmi kejohanan berjudul ‘Dai Dai’, sekali gus mencetuskan sorakan luar biasa daripada penonton.

Persembahan itu menjadi simbol penyatuan muzik dan bola sepak di pentas global, ketika dunia bersiap menyaksikan edisi Piala Dunia terbesar dalam sejarah dengan 48 pasukan bertanding.

Edisi kali ini akan menampilkan 104 perlawanan keseluruhan sebelum aksi kemuncak final berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.

Selepas upacara pembukaan, tumpuan kini beralih kepada aksi pertama Kumpulan A membabitkan tuan rumah Mexico menentang Afrika Selatan yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh emosi di hadapan penyokong sendiri.

Piala Dunia 2026 kali ini bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi juga pentas hiburan global yang menyatukan jutaan peminat dari seluruh dunia di bawah satu acara sukan paling berprestij di planet ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top