Peningkatan kadar pengangguran tak semestinya berkait rapat ketegangan di Selat Hormuz – Penganalisis

Peningkatan kadar pengangguran tak semestinya berkait rapat ketegangan di Selat Hormuz – Penganalisis

SHAH ALAM – Peningkatan kadar pengangguran negara kepada 3.0 peratus pada April lalu perlu dinilai berhati-hati dan tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan gangguan tenaga global atau ketegangan di Selat Hormuz semata-mata.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana kesan ekonomi daripada konflik Israel-Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat lazimnya mengambil masa beberapa bulan sebelum diterjemahkan kepada pengurangan pengambilan pekerja oleh syarikat.

Malah, menurut beliau, data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk bekerja masih meningkat kepada 16.82 juta orang, menandakan pasaran buruh di negara ini secara keseluruhannya masih berkembang walaupun pada kadar yang lebih sederhana.

“Bagaimanapun, perkembangan geopolitik semasa tetap wajar diberi perhatian kerana gangguan di Selat Hormuz boleh menyebabkan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan dan kos pengeluaran.

“Sekiranya tekanan kos ini berpanjangan, syarikat-syarikat terutamanya dalam sektor pembuatan, logistik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin menjadi lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja baharu atau menangguhkan pelaburan pengembangan perniagaan.

“Dalam keadaan sedemikian, kesan terhadap pasaran buruh biasanya berlaku secara berperingkat, bukannya mendadak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya kebarangkalian berlaku lagi peningkatan kadar pengangguran untuk bulan-bulan seterusnya, Ahmed Razman menjangkakan ia kekal sekitar 2.9 hingga 3.1 peratus iaitu masih berada dalam julat dianggap hampir kepada guna tenaga penuh.

Namun, pada hemat beliau, trajektori seterusnya banyak bergantung kepada keadaan ekonomi global, prestasi perdagangan antarabangsa dan tahap keyakinan pelabur.

Tambahnya lagi, jika pertumbuhan ekonomi global terus perlahan atau ketidaktentuan geopolitik semakin meruncing, risiko peningkatan pengangguran tidak boleh diketepikan.

Menurut beliau, kebimbangan utama bukan semata-mata tentang kadar pengangguran yang meningkat 0.1 mata peratus, tetapi kualiti peluang pekerjaan itu sendiri.

“Kalau pertumbuhan pekerjaan baharu tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah atau berpendapatan rendah, ia boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan pengguna.

“Selain itu, peningkatan pengangguran dalam kalangan belia dan graduan juga perlu dipantau kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap produktiviti serta daya saing ekonomi negara.

Infografik pekerjaan dan pengangguran di Malaysia

Infografik pekerjaan dan pengangguran di Malaysia

Sementara itu, pakar ekonomi daripada UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, peratusan yang direkodkan DOSM itu secara sejarahnya amat rendah kerana ketika pandemik Covid-19, kadar pengangguran pernah mencecah 5.3 peratus.

Jika melihat kepada trend, katanya, kadar pengangguran pernah turun ke paras 2.8 peratus untuk suku keempat 2025 kemudian naik semula kepada 3.0 peratus pada April 2026, menandakan pasaran buruh tidak terlalu ketat seperti hujung tahun lepas.

Ujar beliau, terdapat tiga punca utama terjadinya peningkatan kadar pengangguran antaranya sektor pembuatan (elektrik dan elektronik) perlahan di mana eksport elektronik ke Amerika Syarikat (AS) dan China lembab disebabkan tarif serta AI CapEx cut.

“Selain itu, kilang di Penang, Johor atau Selangor mula beku kemasukan pekerja baharu dan majikan tawar Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Pekerja kontrak paling awal kena buang.

“Sekitar 200,000 graduan baharu masuk pasaran antara Jun hingga Julai selepas musim konvokesyen. Dalam dua hingga tiga bulan pertama memang frictional unemployment meningkat naik dan ramai masih cari kerja ikut bidang.

“Sektor kotor, bahaya, sukar (3D) tak menarik minat warga tempatan. Majikan lebih memilih buruh asing. Jadi, wujud ketidaksepadanan di mana kilang kata tak ada pekerja tapi graduan cakap tiada kerja mengikut kelayakan,” ujar beliau.

Menurut Aimi Zulhazmi lagi, kadar pengangguran meningkat 3.0 peratus bukan krisis tetapi ‘lampu kuning’ di mana fasa ekonomi negara beransur daripada overheat kepada normalisasi.

Scroll to Top