Mexico City: Bintang pop sensasi, Shakira sememangnya sudah biasa membuat persembahan di stadium yang padat di seluruh dunia, namun pentas sukan adalah gelanggang di mana dia benar-benar menyerlah.
Penyanyi itu sebelum ini cemerlang menawan pentas Super Bowl 2020 serta dua majlis perasmian Piala Dunia FIFA.
Awal pagi tadi, bintang kelahiran Colombia itu sekali lagi membuka tirai kejohanan bola sepak terbesar dunia dengan menggayakan busana rekaan khas jenama Off-White.
Dia bagaimanapun hanya membuat kemunculan pada detik kemuncak persembahan.
Shakira tampil berduet bersama penyanyi Nigeria, Burna Boy untuk mempersembahkan lagu rasmi tahun ini, ‘Dai Dai’, hanya dua minggu selepas video muziknya dilancarkan.
Kelibatnya kekal menonjol biarpun dikelilingi lautan penari latar di atas pentas, berkat persalinan memukau Off-White berkenaan.
Menurut wakil label fesyen dari Itali itu, penata gaya Shakira, Nicolas Bru membawa koleksi pakaian peribadi penyanyi itu ke studio rekaan mereka.
“Langkah ini bertujuan untuk membantu memberikan idea serta panduan dari sudut hala tuju kreatif rekaan ini,” katanya.
Lapisan pertama busana itu menampilkan sut badan sendat berleher tinggi dengan rona kuning neon yang cukup terang.
Memandangkan Shakira sudah bertahun-tahun menari dengan persalinan ‘one-piece’ termasuk pada siri jelajah dunia Las Mujeres Ya No Lloran tahun lalu, dia tahu potongan busana itu mampu bertahan dengan rutin tarian lasaknya.
Rekaan potongan berlubang (cut-out) pelbagai bentuk dan saiz menambah lagi keunikan pada bahagian dada serta pinggang korset ketat berkenaan.
Potongan lubang yang lebih kecil turut menghiasi sarung tangan gaya opera tanpa jari yang dipakainya.
Off-White kemudiannya mencipta skirt mini asimetri yang dihasilkan sepenuhnya daripada cantuman jersi bola sepak berwarna putih, ungu cair dan kuning pastel.
Bagi melengkapkan gayanya, pemenang anugerah Grammy itu menyerlahkan lagi elemen gaya sukan jalanan apabila memadankan kasut sniker potongan tinggi material kulit jenama R13.
Ia adalah jenama denim popular yang turut digemari bintang ternama seperti Olivia Rodrigo, Katie Holmes dan Jennifer Lopez, yang sememangnya memiliki koleksi kasut yang cukup hebat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




