Mengenali ahli hadis yang sebenar kunci kembali kepada sunnah

Petaling Jaya: Para ulama kontemporari sebulat suara menegaskan bahawa Ahli Hadis yang muktabar bukanlah mereka yang sekadar melaungkan slogan “kembali kepada sunnah” secara harfiah tanpa kerangka ilmu yang sempurna. Sebaliknya, identiti Ahli Hadis yang tulen terbina di atas beberapa asas utama yang saling berkait. Dari sudut akidah, pegangan mereka berada dalam lingkungan mazhab Asyairah dan Maturidiah, iaitu dua aliran utama Ahli Sunnah wal Jamaah yang diiktiraf sejak zaman-berzaman. Majoriti besar para muhaddisin sepanjang sejarah berpegang kepada metodologi ini, jauh daripada fahaman yang menyerupakan Allah dengan makhluk atau terjebak dalam unsur tajsim.

Dalam masa yang sama, Ahli Hadis yang sebenar juga tidak memisahkan diri daripada kerangka fiqh yang telah dibina oleh para ulama silam. Mereka menghormati keputusan-keputusan hukum yang diasaskan oleh empat mazhab besar iaitu Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali. Imam Ahmad ibn Hanbal sendiri pernah mengakui kehebatan istinbat hukum Imam al-Syafi‘i, sekali gus menunjukkan bahawa Ahli Hadis tidak pernah menolak peranan ijtihad dan disiplin Usul Fiqh dalam memahami agama.

Selain itu, kesinambungan sanad ilmu turut menjadi ciri penting dalam tradisi Ahli Hadis yang hakiki. Mereka diwakili oleh para huffaz dan ulama besar yang mensyarahkan kitab-kitab hadis sahih merentasi kurun. Nama-nama seperti Imam al-Nawawi, Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Bayhaqi, al-Sakhawi dan al-Qurtubi menjadi contoh terbaik bagaimana ilmu dipelihara melalui hubungan guru dan murid yang bersambung hingga kepada Rasulullah SAW.

 

Apa kata ulama kontemporari?

Pandangan para ulama terkemuka dari pelbagai wilayah dunia Islam turut memperlihatkan kesepakatan yang hampir sama dalam memahami siapakah Ahli Hadis yang sebenar. Dari Mesir misalnya, Syeikh Prof. Dr. Ali Gomaa, bekas Mufti Mesir, menegaskan bahawa Ahli Hadis yang tulen tidak pernah memisahkan diri daripada rantaian kefahaman fiqh mazhab yang empat. Di sisi institusi Al-Azhar, Ahli Hadis ialah mereka yang menguasai kedua-dua dimensi ilmu hadis iaitu ilmu riwayat yang melibatkan sanad dan matan, serta ilmu dirayat yang berkaitan dengan usul dan hukum. Majoriti mereka juga berakidah Asy‘ari.

Syeikh Dr. Osama al-Azhari pula berpandangan bahawa kelompok moden yang diistilahkan sebagai Nabita telah “merampas” nama mulia Ahli Hadis untuk kepentingan mereka sendiri. Menurut beliau, Ahli Hadis yang sebenar ialah para huffaz yang membawa manhaj sederhana merentasi zaman, bukannya mereka yang memutuskan rantaian ilmu lalu dengan mudah membidahkan dan mengkafirkan umat Islam.

Di Syria, Syeikh Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti al-Syahid melalui karya terkenalnya al-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah menjelaskan bahawa menisbahkan diri secara eksklusif kepada “Ahli Hadis” sebagai sebuah mazhab baharu pada zaman moden merupakan satu bentuk bidaah dalam agama. Beliau menegaskan bahawa Ahli Hadis yang sebenar ialah mereka yang mengikuti metodologi ulama salaf dalam memahami nas-nas sifat Allah sama ada melalui takwil yang sahih atau penyerahan makna kepada Allah tanpa menyerupakan-Nya dengan makhluk.

Pandangan yang hampir sama turut dikemukakan oleh Syeikh Dr. Nuruddin ‘Itr, pakar hadis terkemuka Syria. Beliau menjelaskan bahawa Ahli Hadis yang tulen sentiasa mengimbangi ketegasan dalam menilai sanad dengan ketelitian ilmu Usul Fiqh. Dalam konteks ini, beliau menekankan bahawa amalan seperti tawasul dan tabaruk telah lama diiktiraf oleh para fuqaha Ahli Hadis terdahulu dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan syirik seperti yang sering didakwa oleh sesetengah pihak.

Dari Maghribi pula, Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari yang dikenali sebagai salah seorang pakar Hadis terbesar abad ke-20 telah menghasilkan pelbagai karya ilmiah bagi menjawab pendekatan literal moden. Beliau menegaskan bahawa Ahli Hadis sejati sentiasa berjalan di atas kefahaman para fuqaha hadis klasik seperti Imam al-Nawawi, Ibnu Hajar dan Ibnu Abdul Bar yang mengharuskan tawasul, tabaruk serta menerima pembahagian bidaah kepada hasanah dan dalalah.

Di Iraq, Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa‘adi menjelaskan bahawa nama “Ahli Hadis” sebenarnya merupakan payung besar yang merangkumi sesiapa sahaja yang mengikuti jalan Nabi SAW dan para sahabat. Menurut beliau, Ahli Hadis yang hakiki tidak akan mudah mengkafirkan atau membidahkan sesama Muslim hanya kerana perbezaan dalam masalah fiqh cabang seperti talqin, zikir atau sambutan Maulidur Rasul.

Pandangan ulama India juga tidak jauh berbeza. Syeikh Abdul Hayy al-Luknawi dalam karyanya Iqamat al-Hujjah menjelaskan bahawa Ahli Hadis yang faqih tidak akan menolak sesuatu amalan kebaikan hanya kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya secara khusus, selagi amalan tersebut mempunyai sandaran umum dalam kaedah syarak. Sementara itu, Syeikh Muhammad Anwar Shah al-Kashmiri, tokoh hadis terkemuka India dan Pakistan, menegaskan dalam syarah Sahih al-Bukhari bahawa manhaj Ahli Sunnah yang diwakili oleh Asyairah dan Maturidiah merupakan cerminan akidah Ahli Hadis yang paling selamat serta jauh daripada fahaman tajsim dan ta‘til.

Di Nusantara, tradisi yang sama turut diwarisi oleh tokoh-tokoh besar seperti Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani dari Minangkabau yang digelar Musnid al-Dunya. Beliau menjadi bukti bahawa Ahli Hadis yang sebenar ialah mereka yang mengekalkan tradisi sanad dan ijazah bersambung hingga kepada Rasulullah SAW. Walaupun beliau bermazhab Syafi‘i dan berakidah Asy‘ari, kedudukannya sebagai tokoh besar hadis tidak pernah dipersoalkan. Hal ini membuktikan bahawa menjadi Ahli Hadis tidak pernah bererti keluar daripada mazhab fiqh.

Pandangan tersebut turut diperkukuhkan oleh Syeikh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, yang menegaskan bahawa manhaj ulama hadis di Nusantara secara umumnya beraliran Asyairah-Maturidiah dalam akidah dan bermazhab Syafi‘i dalam fiqh. Ahli Hadis menurut beliau bukan sekadar menilai sesuatu hadis sebagai “sahih atau daif” secara melulu mengikut neraca sendiri, tetapi memahami disiplin itu melalui kaedah yang telah disusun dengan begitu teliti oleh para fuqaha muhaddisin terdahulu.

Oleh Dr. Mahyudin Daud

Dr. Mahyudin Daud ialah Timbalan Dekan di Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC), Bachok, Kelantan dan boleh dihubungi di muhyi@um.edu.my

Scroll to Top