PAAB labur RM70.76 juta tingkatkan bekalan air di Gua Musang

PAAB labur RM70.76 juta tingkatkan bekalan air di Gua Musang

GUA MUSANG – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur bekalan air negara apabila Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak bernilai RM70.76 juta diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Khamis.

LRA Bukit Chupak yang mempunyai kapasiti pengeluaran 10 juta liter sehari merupakan loji rawatan air baharu pertama dibangunkan oleh PAAB di Kelantan.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, loji tersebut berfungsi sebagai sumber bekalan air bersih baharu kepada penduduk di kawasan utama sekitar Gua Musang.

“Pembinaan LRA Bukit Chupak merupakan sebahagian daripada usaha strategik bagi memastikan penduduk menikmati akses kepada bekalan air bersih yang berkualiti secara berterusan.

“Projek ini juga berjaya menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan di Gua Musang sejak hampir dua dekad lalu,” katanya pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di sini pada Khamis.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama ialah, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar dan Pengurus Besar AKSB, Azhar Hanafi.

Ir Jaseni (kanan) dan Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di Gua Musang pada Khamis.

Ir Jaseni (kanan) dan Mohd Nassuruddin (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di Gua Musang pada Khamis.

Menurut beliau, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negara, loji tersebut dilengkapi pelbagai teknologi rawatan air moden yang menekankan kecekapan operasi, penjimatan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

Ujarnya, bekalan air terawat daripada LRA Bukit Chupak diagihkan melalui dua sistem agihan utama yang membekalkan air kepada kawasan Ladang Sungai Terah, Kampung Kerinting, Kampung Awek, Bandar Utama, Bandar Lama, Taman Wangsa Mewangi, Kesedar Inn, Taman Chinda, Taman Mesra dan Kampung Baru.

“Secara keseluruhannya, pembinaan loji ini memberi manfaat secara langsung kepada lebih 20,000 penduduk di Gua Musang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

“Selain meningkatkan akses kepada bekalan air bersih, projek ini turut membantu meningkatkan rizab margin bekalan air kepada sekurang-kurangnya lima peratus serta menstabilkan tekanan bekalan air ketika permintaan meningkat terutama pada musim kemarau dan perayaan,” katanya.

Menurut beliau, loji tersebut mula membekalkan air kepada penduduk selepas melalui proses pengujian dan pentauliahan sebelum siap sepenuhnya pada 28 April lalu.

Scroll to Top