3.61 juta pemilih bakal mengundi PRN Johor, N. Sembilan

3.61 juta pemilih bakal mengundi PRN Johor, N. Sembilan

PUTRAJAYA: Sejumlah 3.61 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 bagi Johor dan Negeri Sembilan yang ditetapkan pada 11 Julai dan 1 Ogos depan.

Ia bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan tersebut.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala hari pengundian awal pada 7 Julai.

Menurutnya, bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai (Jumaat) bagi PRN Johor Ke-16, manakala bagi urusan PRN Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai (Jumaat),” katanya selepas Mesyuarat Khas bagi kedua-dua PRN tersebut, di sini hari ini.

Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu dengan DPPR bagi PRN Johor mengandungi seramai 2,727,926 pemilih yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 tentera serta pasangan dan 12,710 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Bagi PRN Negeri Sembilan pula, DPPR yang akan digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun lalu mengandungi seramai 889,490 pemilih terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 tentera serta pasangan dan 5,455 polis.

Ramlan berkata, DPPR bagi PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan dijadualkan akan mula dijual pada 23 Jun depan.

Tambahnya lagi, bagi menjalankan proses PRN Johor, SPR telah melantik 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 187 Penolong Pegawai Pengurus, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Sementara itu, katanya, di Negeri Sembilan pula, SPR telah melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 95 Penolong Pegawai Pengurus dan SPR akan menubuhkan 36 PP-KPR.

“Bagi PRN Johor, sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan manakala bagi PRN Negeri Sembilan pula sebanyak lapan PPC dan PPRU.

“Seramai 42,971 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut pada PRN Johor, manakala sebanyak 1,076 pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,889 tempat mengundi/saluran dan 64 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 91 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,140 Pusat Mengundi dengan 4,980 tempat mengundi/saluran. PRN Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan pula, seramai 15,344 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.

“Sebanyak 401 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,668 tempat mengundi/saluran dan 38 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 70 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 439 Pusat Mengundi dengan 1,738 tempat mengundi/saluran. PRN Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top