
Ab Rauf
MELAKA – UMNO Melaka terbuka untuk menerima pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta memperluaskan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, UMNO Melaka sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana pihak yang mampu memberi manfaat politik terbaik kepada parti tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan negeri sedia ada.
Menurutnya, pendekatan itu termasuk mengalu-alukan individu yang pernah meninggalkan UMNO untuk kembali bersama parti demi membina masa depan yang lebih baik.
“UMNO Melaka sebagai sebuah pertubuhan di bawah naungan UMNO Malaysia akan membuka ruang seperti mana ruang yang telah dibuka seluas-luasnya dalam Rumah Bangsa untuk penyatuan bangsa.
“UMNO Melaka juga bersedia menerima pandangan, cadangan dan apa juga usaha bagi memastikan perpaduan masyarakat menerusi Rumah Bangsa ini dapat diteruskan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kesediaan UMNO untuk membuka pintu rundingan dengan lebih spesifik selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Terdahulu beliau menghadiri Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar Bersama Tok Rauf dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA di SMK Sultan Alauddin Masjid Tanah di sini membabitkan lebih 1,200 pelajar pada Jumaat.

Ab Rauf (tiga dari kiri) menyampaikan penyerahan sumbangan bantuan persekolahan kepada pelajar pada Jumaat.
Mengulas kemungkinan wujud formula baharu UMNO Melaka menjelang PRN negeri itu, Ab Rauf memberikan jawapan bersahaja.
“Formula ini bergantung pada masa dan keadaan, bergantung kepada mas kahwin masa nak meminang anak saya,” katanya berseloroh.
Tambah beliau, sebarang langkah yang bakal diambil UMNO Melaka tidak akan memberi gambaran negatif terhadap mana-mana parti politik atau kaum.
“Apa yang dibuat oleh UMNO Melaka nanti tidak akan memberi kesan yang menunjukkan prasangka mendalam terhadap mana-mana parti atau kaum seolah-olah UMNO melakukan penderhakaan politik.
“Kita terbuka dan sedia membuka ruang seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja, bukan sahaja Pas, malah mana-mana rakan yang boleh memberikan pulangan politik terbaik kepada UMNO Melaka,” katanya.



