Ivory Coast sedia gugat rekod Ecuador

Ivory Coast sedia gugat rekod Ecuador

Philadelphia: Pertahanan kental Ecuador bakal menerima ujian terbesar apabila berdepan Ivory Coast dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia di Stadium Philadelphia, Ahad ini.

Pasukan Amerika Selatan itu memburu rekod tanpa kalah ke-20 berturut-turut selepas kali terakhir tewas kepada Brazil di Curitiba pada September 2024 pada peringkat awal kelayakan Piala Dunia.

Sepanjang tempoh itu, Ecuador hanya dibolosi enam gol dengan lima daripadanya berlaku dalam perlawanan persahabatan.

Mereka menamatkan kempen kelayakan zon Amerika Selatan di tempat kedua untuk mengesahkan penampilan kelima di Piala Dunia sejak membuat penampilan sulung pada 2002.

Ivory Coast pula memiliki rekod pertahanan yang lebih mengagumkan apabila menamatkan 10 perlawanan kelayakan tanpa dibolosi sebarang gol.

Bagaimanapun, kualiti lawan yang dihadapi pasukan Afrika itu dianggap tidak setanding dengan cabaran yang ditempuhi Ecuador sepanjang kempen kelayakan.

Sejak mengesahkan tempat ke kejohanan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, Ivory Coast mempamerkan aksi meyakinkan menerusi kemenangan selesa ke atas Korea Selatan dan Scotland pada Mac lalu sebelum menewaskan Perancis 2-1 di Nantes minggu lalu.

Jentera serangan Ivory Coast yang diketuai pemain muda, Yan Diomande, bersama Simon Adingra dan Amad Diallo di bahagian sayap dijangka memberi tekanan maksimum kepada benteng Ecuador.

Kekuatan serangan mereka turut dipertingkatkan selepas bekas pemain muda Perancis, Ange-Yoan Bonny dan Elye Wahi, menukar kesetiaan antarabangsa sebelum disenaraikan dalam skuad.

Mereka bakal berdepan barisan pertahanan berpengalaman Ecuador yang dibarisi Willian Pacho dan Piero Hincapie.

Di hadapan benteng itu pula terdapat pemain tengah bertahan Chelsea, Moises Caicedo, yang dianggap ramai sebagai antara pemain terbaik dunia di posisi berkenaan.

Tidak hairanlah Ecuador berjaya mencatat 13 perlawanan tanpa bolos daripada 18 aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.

Dengan Jerman dilihat sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan itu, pertembungan ini berpotensi menjadi penentu perebutan tempat kedua, meskipun kedua-dua pasukan mempunyai cita-cita lebih besar.

Ecuador hanya sekali berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan, manakala Ivory Coast yang kembali ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2014 masih memburu kemaraan pertama ke pusingan kalah mati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top