PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menutup sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti trans hiking dan hiking compress di mana-mana Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu bermula 1 Julai ini.
Menurut jabatan itu, penutupan sementara tersebut dibuat atas faktor keselamatan.
Katanya, sebarang pelanggaran terhadap arahan itu boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985.
“Bermula 1 Julai 2026, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menutup sementara permohonan bagi menjalankan aktiviti trans hiking dan hiking compress di mana-mana Hutan Simpanan Kekal di Negeri Selangor atas faktor keselamatan.
“Sebarang pelanggaran boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen Pemakaian Akta Perhutanan Negara 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan notis sama, individu yang didapati melakukan pelanggaran boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN




