Harga makanan kafeteria kolej matrikulasi masih dalam julat kontrak – KPM

Harga makanan kafeteria kolej matrikulasi masih dalam julat kontrak – KPM

SHAH ALAM – Harga makanan yang dijual di kafeteria Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) masih berada dalam julat kontrak yang ditetapkan.

Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan memaklumkan, pihak kolej telah melaksanakan siasatan awal terhadap dakwaan harga makanan yang mahal di premis berkenaan.

“Semakan di kafeteria mendapati harga makanan seperti berikut (iaitu) nuget tempura 60 sen sebiji, kepingan daging RM1.50 sekeping, air mineral 1500 ml RM2 sebotol dan air Milo kotak RM2.

“Bagi makanan yang dilaporkan berharga RM8.50, pecahan harga yang dikenal pasti ialah nasi putih RM1.50, ayam RM4 dan buah RM3.

“Pihak kolej akan terus membuat pemantauan bagi memastikan harga makanan yang dijual munasabah, bersesuaian dengan keperluan pelajar dan dipaparkan dengan jelas di kafeteria,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, beberapa pelajar sebuah institusi pendidikan di Banting didakwa terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali sehari susulan harga makanan di kafe yang disifatkan terlalu mahal.

Perkara itu didedahkan menerusi beberapa aduan yang dikongsikan oleh ibu bapa dan waris pelajar dalam satu kumpulan perbualan selepas mendakwa kos makanan yang dikenakan di kafe institusi berkenaan membebankan pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Selain isu harga makanan, beberapa penjaga turut membangkitkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan premis berkenaan selepas gambar yang dikongsikan menunjukkan kehadiran lalat dalam jumlah yang banyak di kawasan penyediaan dan jualan makanan.

Susulan itu Kementerian Pendidikan memaklumkan, KMS telah menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat bagi mendapatkan khidmat bantu untuk melaksanakan semburan kawalan lalat di kawasan institut berkenaan.

Menurutnya, pasukan kawalan vektor PKD akan hadir ke KMS dalam masa terdekat untuk menjalankan pemeriksaan.

“Pemeriksaan dijangka melibatkan Unit Kualiti Makanan untuk pengujian sampel makanan, selain kehadiran Unit NCD dan Unit Promosi Kesihatan.

“Pihak kolej juga telah menghubungi Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sampah oleh kontraktor dilaksanakan mengikut jadual.

“Sebagai kawalan segera, pihak PKD akan melaksanakan semburan pembasmi serangga pada 12 Jun sekitar 8 malam di ketiga-tiga buah kafeteria yang terdapat di KMS,” jelasnya.

Sementara itu semua pengusaha kafe diarah meningkatkan tahap kebersihan premis, memastikan makanan sentiasa ditutup, memaparkan harga makanan dengan jelas dan mengambil langkah pencegahan bagi mengawal kehadiran serangga perosak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menjalankan pemeriksaan di semua kafeteria kolej pada 11 Jun, namun laporan rasmi mengenainya masih belum diterima.

“Pemantauan berkala akan dilaksanakan bagi memastikan harga makanan pada kadar munasabah, tahap kebersihan premis sentiasa dipertingkatkan dan keselamatan makanan pelajar terjamin,” katanya.

 

Scroll to Top