ONTHEGO Cipta Sejarah, Raih Jualan Lapan Angka Dalam Setahun

ONTHEGO Cipta Sejarah, Raih Jualan Lapan Angka Dalam Setahun

Syarikat tempatan, ONTHEGO F&B INDUSTRY SDN BHD, mencipta kejayaan membanggakan apabila merekodkan hasil jualan mencecah angka lapan digit dalam tempoh kurang setahun beroperasi sepenuhnya dalam industri pemakanan sukan dan gaya hidup sihat.

Jualan lapan angka setahun

Kejayaan itu meletakkan ONTHEGO sebagai antara jenama bumiputera yang semakin mendapat perhatian dalam sektor kesihatan dan kecergasan negara.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Muhammad Emuff Dhiya Ishak berkata, syarikat berkenaan ditubuhkan dengan matlamat menawarkan alternatif produk kesihatan yang berkualiti serta mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, ONTHEGO memberi tumpuan kepada pengeluaran bahan perasa sifar kalori (zero calorie seasoning) dan produk pemakanan sukan premium seperti whey protein, creatine serta pelbagai suplemen kecergasan.

“Pada tahun 2024, kami memasarkan produk perasa makanan pelbagai perisa antaranya lada hitam, kicap pedas, rendang special, perapan bakar, satay special dan tandori.
“Jualan amatlah memuaskan kerana produk ini tiada perasa dan pewarna tambahan serta garam berlebihan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat ONTHEGO.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat syarikat dalam tempoh singkat didorong oleh komitmen terhadap kualiti produk, kepercayaan pelanggan dan strategi pembangunan jenama yang menyeluruh.

Menurutnya, semua produk keluaran ONTHEGO menjalani ujian makmal pihak ketiga termasuk SGS bagi memastikan aspek ketelusan, keselamatan dan kualiti sentiasa terjamin.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ONTHEGO, Abdul Arieff Abas berkata, antara faktor yang membezakan syarikat itu daripada pesaing lain ialah pemilikan kilang pengeluaran sendiri di Selangor.

Katanya, kemudahan tersebut membolehkan keseluruhan proses pembuatan dijalankan di dalam negara tanpa bergantung kepada produk siap yang diimport.

“Selepas kejayaan produk perasa makanan (seasoning), kami mengorak langkah ke hadapan dengan mengeluarkan produk serbuk protein dengan pelbagai perisa antaranya chocolate indulgence, coffee hazelnut royale, salted caramel dan durian musang king.
“Produk ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna yang aktif bersukan. Bukan itu sahaja, ia juga sesuai untuk sesiapa sahaja yang mencari makanan tambahan bagi memenuhi nutrisi harian,” jelasnya.

Abdul Arieff menjelaskan, produk serbuk protein keluaran syarikat itu tidak mengandungi gula putih atau pemanis tiruan, sebaliknya hanya menggunakan pemanis stevia.

Beliau turut memaklumkan bahawa produk ONTHEGO telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang dijangka diperoleh pada Ogos ini.

Selain menumpukan kepada pembangunan produk, ONTHEGO turut aktif memperkukuhkan jenama melalui penglibatan dalam komuniti sukan dan kecergasan tempatan.

Syarikat itu secara konsisten menyokong pelbagai acara sukan, menaja atlet bina badan serta menjalin kerjasama rapat dengan komuniti yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada masa sama, strategi pemasaran digital yang agresif menerusi kerjasama dengan artis, pencipta kandungan dan pempengaruh tempatan turut membantu meningkatkan kesedaran jenama dalam kalangan pengguna.

Melalui platform media sosial dan sesi siaran langsung interaktif, ONTHEGO bukan sahaja mempromosikan produk, malah berkongsi ilmu berkaitan pemakanan, kecergasan dan amalan hidup sihat.

Dengan kapasiti pengeluaran yang semakin kukuh serta sokongan komuniti yang terus berkembang, ONTHEGO kini merancang untuk memperluaskan portfolio produknya selain meneroka peluang pasaran baharu termasuk menembusi pasaran antarabangsa.

Kejayaan yang dicapai dalam tempoh singkat itu membuktikan jenama tempatan mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat lebih tinggi apabila disokong oleh inovasi, ketelusan dan komitmen terhadap kualiti.

Scroll to Top