am@hmetro.com.my
Melaka: Niat kononnya mahu menyiapkan tugasan universiti bersama bertukar detik memalukan apabila pasangan pelajar dicekup disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 pagi itu, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama anggota polis melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan susulan aduan awam yang diterima.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, hasil pemeriksaan mendapati penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) swasta masing-masing berusia 21 tahun berada di dalam rumah yang disewa oleh penuntut perempuan terbabit.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, penuntut lelaki itu ditemukan bersembunyi di dalam almari, manakala wanita berkenaan didapati memakai telekung.
“Hasil semakan mendapati kedua-duanya pelajar IPT swasta, masih bujang dan tidak mempunyai hubungan yang sah sebagai suami isteri.
“Mereka memberi alasan berada di rumah berkenaan bagi menyiapkan tugasan universiti bersama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, susulan itu pasangan terbabit dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
© New Straits Times Press (M) Bhd




