am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Gandingan penyanyi, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali bergabung dalam sebuah konsert istimewa iaitu Rumah Hati Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Berlangsung di Megastar Arena acara itu menghimpunkan dua figura muzik Indonesia yang terkenal dengan lagu beremosi dan dekat dengan jiwa pendengar.
Mengangkat tema ‘Satu Rasa, Dua Cerita’, persembahan berkenaan bakal membawa penonton menyelami pelbagai emosi menerusi karya yang menyentuh mengenai cinta, kerinduan, penyembuhan dan pencarian diri.
Jurucakap penganjur Shah Shamshiri berkata, gabungan dua penyanyi itu bukan sekadar mempersembahkan lagu hit masing-masing, malah menawarkan pengalaman muzik yang lebih intim dan bermakna kepada peminat.
Katanya, konsep Rumah Hati dianjurkan oleh Cerita Project & Events Sdn Bhd diwujudkan sebagai ruang menghubungkan artis dan penonton melalui bahasa muzik universal.
“Nadhif dan Fabio mempunyai identiti muzik tersendiri, namun berkongsi kekuatan yang sama dalam menyampaikan emosi menerusi lagu mereka.
“Gabungan ini diharap mampu memberikan pengalaman berbeza serta meninggalkan kenangan istimewa kepada peminat di Malaysia,” katanya.
Konsert berkenaan turut menjadi platform untuk mereka mendekati peminat tempatan yang selama ini mengikuti perjalanan seni mereka menerusi pelbagai platform digital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




