1.88 juta rakyat terima manfaat mySalam berjumlah RM1.423 bilion sejak 2019 – Fahmi

1.88 juta rakyat terima manfaat mySalam berjumlah RM1.423 bilion sejak 2019 – Fahmi
1.88 juta rakyat terima manfaat mySalam berjumlah RM1.423 bilion sejak 2019 – Fahmi

Fahmi Fadzil (kiri) yang juga jurucakap Kerajaan Madani ketika sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini. – Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Skim perlindungan kesihatan sosial, mySalam, yang dikelolakan oleh Kementerian Kewangan telah memanfaatkan seramai 1.88 juta rakyat Malaysia dengan jumlah tuntutan yang dibayar mencecah RM1.423 bilion sehingga 31 Disember 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program yang bermula pada 2019 dengan dana RM2.37 bilion itu kini menyediakan perlindungan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan yang layak sehingga usia 65 tahun.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, penerima yang layak boleh mendapat tiga bentuk manfaat utama iaitu elaun hospitalisasi sebanyak RM50 sehari untuk maksimum 14 hari atau RM700 setahun, bantuan sekali bayar sehingga RM8,000 bagi 50 penyakit kritikal serta tuntutan kos peranti perubatan sehingga maksimum RM30,000.

“Bagi manfaat hospitalisasi, seramai 1.294 juta penerima telah menerima manfaat dan jumlah yang telah disalurkan kepada mereka berjumlah RM394.87 juta,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Bagi kategori penyakit kritikal pula, katanya, skim itu memberi manfaat kepada 89,085 penerima dengan jumlah bayaran RM712.68 juta, manakala bagi peranti perubatan melibatkan 13,128 penerima dengan peruntukan sebanyak RM65.257 juta.

Beliau berkata, prestasi skim berkenaan telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut membincangkan permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor restoran dan pembinaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kerja Raya untuk mendapatkan perincian penuh daripada industri masing-masing sebelum diteliti dalam mesyuarat Kabinet akan datang. – Bernama

 

 

 

 

 

Scroll to Top