18 pembentang, panelis antarabangsa sertai Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3

18 pembentang, panelis antarabangsa sertai Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 18 pembentang dan panelis antarabangsa berkongsi pandangan berasaskan empat tema utama, termasuk memperkukuh keharmonian sosial dan budaya saling menghormati menerusi Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan persidangan itu yang menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta dari 31 negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, persidangan itu anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Liga Dunia Islam, turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa belia melalui pendidikan dan kepimpinan, menangani cabaran semasa generasi muda serta memperkukuh peranan pemimpin agama dalam pembangunan dan pemerkasaan belia.

“Penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang menjunjung nilai kesederhanaan, perpaduan dan dialog dalam memperkukuh keamanan serta kesejahteraan sejagat.

“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, persidangan ini bertujuan memupuk keharmonian, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat yang pelbagai, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai platform dialog global yang diyakini dalam membincangkan isu berkaitan keamanan, pembangunan masyarakat dan kesejahteraan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Sheikh Dr Mohammad Abdul Kareem Al-Issa, anggota Jemaah Menteri serta para perwakilan antarabangsa ke persidangan itu.

Sirajuddin menambah, persidangan itu juga mencerminkan komitmen bersama untuk mempromosikan kehidupan bersama secara aman, memperkukuh keharmonian sosial serta memperkasa golongan muda sebagai rakan strategik dalam membina komuniti yang berdaya tahan dan inklusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top