am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesemua sembilan buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara kini diserahkan di bawah pentadbiran Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah pemindahan operasi itu bukan sekadar satu transformasi pentadbiran, sebaliknya merupakan strategi yang dirancang teliti bagi memartabatkan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke tahap yang lebih tinggi.
Susulan penyerahan itu, SMT kini dijenamakan semula sebagai Sekolah Berasrama Penuh Teknikal (SBP-T).
“Langkah ini akan memberi fokus kepada kecemerlangan akademik dan teknikal berprestasi tinggi, sekali gus meletakkan status SBP-T setaraf dengan sekolah berasrama penuh (SBP) sedia ada di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Fadhlina menjelaskan, menerusi usaha pengstrukturan baharu itu, peranan SBP-T akan terus diperkasakan bagi melahirkan modal insan cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Langkah proaktif itu juga mampu memenuhi unjuran dan keperluan tenaga kerja mahir serta profesional negara pada masa hadapan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Institusi yang terbabit dalam penstrukturan ini membabitkan SMT Alor Setar, Kedah; SMT Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang; SMT Cheras, Kuala Lumpur; SMT Tuanku Jaa’far, Negeri Sembilan dan SMT Bukit Piatu, Melaka.
Selain itu, turut terbabit ialah SMT Kuala Terengganu, Terengganu; SMT Kuantan, Pahang; SMT Johor Bahru, Johor dan SMT Sejingkat, Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




