Saliba tak sertai latihan Perancis, cetus kebimbangan menjelang Piala Dunia 2026

Saliba tak sertai latihan Perancis, cetus kebimbangan menjelang Piala Dunia 2026

Boston: Kem Perancis dikejutkan dengan perkembangan terbaru membabitkan tonggak pertahanan mereka, William Saliba, yang tidak menyertai sesi latihan pasukan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memaklumkan pertahanan Arsenal itu akan menjalani program latihan secara individu susulan masalah sakit belakang yang dialaminya sejak beberapa minggu lalu.

Saliba sebelum ini mengharungi musim yang panjang bersama Arsenal dengan membantu kelab London itu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta mara ke final Liga Juara Juara.

Keadaan itu mencetuskan sedikit kebimbangan dalam kem Les Bleus, meskipun pengendali Didier Deschamps sebelum ini memberi jaminan bahawa pemain berusia 25 tahun itu dijangka cergas untuk menghadapi kejohanan berprestij itu.

“William Saliba tidak akan mengambil bahagian dalam latihan pasukan hari ini. Theo Hernandez turut direhatkan sebagai langkah berjaga jaga, begitu juga Aurelien Tchouameni,” menurut kenyataan FFF.

Perancis yang muncul juara dunia pada 2018 sebelum bergelar naib juara pada edisi 2022 bakal memulakan cabaran Kumpulan I menentang Senegal pada Selasa ini.

Selepas itu, skuad Les Bleus akan berdepan Iraq dan Norway dalam misi memburu kejuaraan Piala Dunia ketiga dalam sejarah negara itu.

Buat masa ini, ketiadaan Saliba di padang latihan belum dianggap serius, namun perkembangan pemain pertahanan itu pasti terus menjadi perhatian penyokong Perancis menjelang aksi pembukaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top