hifzuddin@bh.com.my
Alor Setar: Perikatan Nasional (PN) belum menerima sebarang permohonan daripada Gerakan RESET bagi menganggotai gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Negeri Sembilan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi atau usaha dilakukan bagi membawa RESET yang diketuai bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke dalam PN.
“Belum ada sebarang perbincangan rasmi untuk RESET masuk PN, yang ada cuma perbincangan tak rasmi. Dengan UMNO pun kita ada bincang sebab masing-masing ada kepimpinan, tapi tak ada sebarang keputusan masa berjumpa.
“Sama juga dengan RESET tak ada sebarang keputusan. Kita tunggu kalau nak bersama PN maka mereka kena buat permohonan, sama juga parti lain yang nak bersama PN akan buat permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai persiapan menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, pimpinan parti itu akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan bagi membuat beberapa keputusan penting.
Katanya, mesyuarat itu akan menentukan bagaimana PAS akan bergerak pada pilihan raya berkenaan termasuk kemungkinan meneroka jajaran baharu dalam politik.
“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (untuk sertai jajaran baharu), biasalah dalam proses menghadapi pilihan raya kita mengadakan analisa dan sebagainya tapi belum ada apa keputusan terhadap mana-mana jajaran.
“PAS akan berbincang di peringkat kepimpinan tertinggi pada minggu depan dan akan menentukan bagaimana kita nak bergerak ke depan, kami akan berbincang sesama kami dan kemudian kita akan bermesyuarat bersama PN,” katanya.
Menyentuh tahap keyakinan pengundi terhadap ‘jenama’ PN di Johor dan Negeri Sembilan ketika ini, beliau menegaskan gabungan itu masih mempunyai sokongan orang ramai berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
“Jenama PN sudah melalui proses pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK) dan PRN di Sabah, jadi ia adalah jenama yang sudah kukuh dan tidak ada masalah untuk kita hadapi pilihan raya kali ini. Sama juga jenama PAS yang sudah kukuh, patutnya tak ada sebarang masalah.
“Cuma keadaan kali ini agak luar biasa berbanding PRN lalu di mana kali ini PRN berturut-turut diadakan di negeri yang berbeza. Jadi tentu ada pertimbangan lebih teliti perlu diadakan oleh PAS dan PN dengan kita masih menilai bagaimana kaedah terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




